Tajuddin bidas MP Arau, apa bodoh sangat Shahidan tu?

Tajuddin bidas MP Arau, apa bodoh sangat Shahidan tu?

Perhimpunan agung Umno pada Ahad lalu bersetuju memberikan mandat kepada majlis tertinggi parti itu untuk menentukan bilakah tarikh yang tepat untuk menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) susulan keputusannya untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Tiga hari kemudian, ahli parlimen Arau, Shahidan Kassim berkata keputusan untuk menarik diri daripada kerajaan PN terletak di tangan setiap anggota parlimen dan bukan majlis tertinggi, sekali gus dilihat bercanggah dengan pendirian parti.

Bagaimanapun beberapa pemimpin Umno tidak bersetuju dengan pandangan pengerusi Umno Perlis, yang juga ahli majlis tertinggi Umno itu.

Mereka sebaliknya menuntut agar semua anggota parlimen daripada Umno menghormati keputusan majlis tertinggi.

“Shahidan boleh menolak keputusan parti tapi dia kenalah menanggung apa sahaja akibat dari keputusannya itu.

“Bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan yang diambil oleh kita adalah suatu aspek penting kematangan diri kita,” kata Ketua Bahagian Umno Johor Bahru, Shahrir Samad kepada Malaysiakini.

Bekas ahli parlimen Johor Bahru itu menegaskan semua ahli parlimen yang memenangi kerusi mereka di bawah tiket Umno harus menghormati apa sahaja keputusan yang dibuat parti itu.

“Satu cara yang terhormat membantah atau menolak keputusan itu ialah dengan tidak lagi menawar diri untuk menjadi calon pada PRU akan datang,” katanya.

‘Apa bodoh sangat ‘

Seorang lagi ahli majlis tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman mempersoalkan kenyataan Shahidan, yang disifatkannya sebagai “bodoh”.

“Yalah, ahli-ahli parlimen tu diorang apa partinya? Jadi ahli parti mana? Umno BN-lah. Apa bodoh sangat Shahidan tu?” katanya.

Tajuddin menggesa ahli-ahli parlimen Umno yang tidak setuju dengan keputusan parti itu untuk keluar daripada PN agar membuat keputusan sama ada mahu kekal bersama Umno atau sebaliknya.

Dia berkata, ingkar kepada keputusan dan arahan parti merupakan suatu kesalahan besar.

“Orang yang macam ni elokkah dia berada dalam parti? Dia merupakan gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut. Dah sampai masanya kita secara terus terang, malas nak berlindung-lindung la

“Kita malas nak bercakap selama hari ni.Sekarang ni dia orang buat keputusan, nak bersama parti atau tak nak bersama parti. Habis.

“PAS dah buat keputusan, presiden umum apa PAU putuskan. Bukan keputusan presiden, keputusan PAU,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Khaled Nordin ketika dihubungi berkata kenyataan Shahidan hanya “pandangan peribadi”.

Ketika ditanya apa akan terjadi jika ada ahli parlimen Umno mahu kekal memegang jawatan menteri atas kapasiti peribadi, Khaled berkata ‘bila sampai masa parti akan buat keputusan’.

Berita Penuh :https://m.malaysiakini.com/news/569257

COMMENTS