Syarikat dengan 80 peratus pekerja lengkap vaksin boleh beroperasi penuh

Syarikat dengan 80 peratus pekerja lengkap vaksin boleh beroperasi penuh.

Syarikat sektor pembuatan yang tidak disenaraikan dalam sektor perkhidmatan perlu di kawasan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 dan 2 dibenarkan beroperasi pada kadar kapasiti berdasarkan tahap peratusan pekerja yang telah mendapat vaksin lengkap.

Manakala syarikat-syarikat sektor pembuatan yang disenaraikan dalam sektor perkhidmatan perlu di kawasan PPN Fasa 1, 2 dan 3 pula dibenarkan untuk meningkatkan kapasiti berdasarkan tahap peratusan pekerja yang telah mendapat vaksin lengkap.

Syarikat

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan pada Ahad.

Selain itu, syarikat juga dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus jika 40 hingga 59 peratus pekerja lengkap vaksinasi. Manakala 80 peratus kapasiti jika 60 hingga 79 peratus pekerja lengkap vaksinasi.

Bagi syarikat yang mencapai 80 hingga 100 peratus pekerja lengkap divaksinasi pula dibenarkan beroperasi 100 peratus kapasiti.

“Syarikat perlu membuat pengisytiharan kadar vaksinasi lengkap pekerja yang sebenar di sistem COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.

“Selepas pengisytiharan, syarikat boleh secara terus memuat turun surat kelulusan beroperasi yang baharu. Akses ke CIMS 3.0 untuk pengisytiharan ini adalah terhad kepada sektor pembuatan sahaja,” jelas kenyataan itu.

Manakala pengesahan mengenai kadar vaksinasi pekerja akan dibuat melalui semakan dengan pihak Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Lawatan verifikasi secara berkala turut akan dilaksanakan oleh anggota penguatkuasa ke atas syarikat-syarikat sektor pembuatan.

Setiap syarikat juga diwajibkan untuk melaksanakan ujian RTK Antigen yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sebagai tambahan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada, syarikat-syarikat adalah diwajibkan untuk melaksanakan Ujian RTK Antigen.

“Sepertimana yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia melalui kaedah ujian kendiri atau di fasiliti kesihatan, setiap dua minggu bagi pekerja yang hadir ke premis sebagai langkah proaktif untuk mengekang penularan COVID-19 di kalangan pekerja,” jelas kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, setiap syarikat juga diminta mematuhi SOP sedia ada seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan lain-lain yang diwajibkan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan telah bersetuju untuk membuka 11 aktiviti ekonomi termasuk sektor pembuatan bermula 16 Ogos 2021.

Ia terpakai kepada semua syarikat di bawah negeri Fasa 1, 2 dan 3 PPN seluruh negara.

Keputusan itu dibuat selepas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) memperlihatkan kejayaan dalam mempercepatkan pencapaian imuniti kelompok.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pekerja-sektor-pembuatan-diwajibkan-jalani-ujian-rtk-antigen-setiap-dua-minggu-miti-314142

Baca Juga : PPV Tanjong Karang bakal ditutup terus mulai 22 Ogos

COMMENTS

Wordpress (0)