Suspek mati mengejut dalam lokap, ini respon PDRM. Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang suspek lelaki warga tempatan mati mengejut dalam tahanan di Lokap Berpusat Shah Alam semalam.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM ACP Skandaguru Anandan berkata lelaki berusia 33 tahun itu merupakan suspek yang ditahan sejak 29 Julai lepas.
“Dia ditahan sementara siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.
“Pada 4.59 pagi semalam, suspek berkenaan ditemukan terbaring dan tidak sedarkan diri. Pihak hospital telah dihubungi bagi tujuan rawatan awal dan kira-kira 5.20 pagi, pegawai perubatan dari Hospital Shah Alam telah mengesahkan kematiannya,” menurut beliau dalam kenyataan.
Skandaguru berkata suspek telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat yang dijadualkan hari ini.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut,” katanya.
Kes mati mengejut di rumah
Baru-baru ini pula terjadi satu kejadian hampir serupa melibatkan kes mati mengejut, namun berlaku di rumah membabitkan pasangan suami isteri dalam satu kejadian di Seremban tiga hari lepas.
Memetik kembali laporan Bernama sebelum ini, sepasang suami isteri ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Bandar Dataran Segar, Lukut di Negeri Sembilan baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed ketika itu berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 5.15 petang memaklumkan lelaki berusia 61 tahun dan isterinya, 58, itu disyaki tidak sedarkan diri.
“Polis dengan dibantu sepasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Port Dickson kemudian memecahkan mangga hadapan pintu jeriji rumah dan melakukan pemeriksaan di dalam rumah berkenaan.
“Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Lukut telah mengesahkan kematian mangsa di tempat kejadian.
“Siasatan mendapati mangsa lelaki mempunyai sejarah rawatan darah tinggi manakala isterinya tiada sebarang sejarah rawatan kesihatan. Polis juga tidak menemukan sebarang unsur pelakuan jenayah,” katanya dalam kenyataan ketika itu.
Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai ‘mati mengejut’.
BACA:
Bantuan: Ini punca sebenar BKM tak masuk dalam akaun anda
Netizen kagum tengok ustazah cantik ni ikat bata, buat rumah sendiri
Ini cara buat mee goreng style mamak sebenar, tak payah pergi kedai dah