Sumbangan banjir digunakan untuk beli arak?, Ini penjelasan MUDA

Sumbangan banjir digunakan untuk beli arak?, Ini penjelasan MUDA. Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menepis tuduhan bahawa duit sumbangan daripada rakyat untuk misi bantuan banjir digunakan untuk membeli minuman keras buat ahli parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Tuduhan kepada Parti Muda timbul selepas gambar sekumpulan orang yang memakai baju Muda, dilihat duduk di meja yang dipenuhi dengan minuman keras.

“Muda tak guna duit sumbangan untuk beli minuman alkohol. Ini tuduhan paling tak masuk akal.

“Muda is an open book (tiada apa hendak disembunyikan). Semua sumbangan 100 peratus disalurkan kepada mangsa banjir. Minggu lepas saya dah buat sidang media dan tunjuk semua resit transaksi Mari Bantu.

“Semua urusan direkod dan akan diaudit,” jawab Ahli Parlimen Muar di Facebook.

Syed Saddiq turut menjemput orang ramai ke pusat gerakan misi bantuan banjir parti itu jika mahu tahu lebih lanjut mengenai perbelanjaan Muda.

Mari Bantu ialah nama misi bantuan banjir Muda yang menerima sumbangan awam. Laman web misi itu menunjukkan bahawa sebanyak lebih RM1 juta telah dibelanjakan untuk misi bantuan banjir setakat ini.

Presiden parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata parti Muda ialah parti berbilang bangsa dan agama, dan menyifatkan serangan sedemikian sebagai “murah”, “lapuk”, dan “terdesak”.

Syed Saddiq bagaimanapun tidak mengesahkan mahupun menafikan sama ada orang di dalam gambar itu benar-benar merupakan ahli Muda ataupun bukan.

“Muda wujud atas dasar toleransi. Selagi apa yang dibuat itu mengikut lunas undang-undang, tak apalah.

“Parti ini, parti berbilang kaum. Bukan kesalahan untuk mereka minum lainlah kalau mereka memandu.

“Kita hormat hak mereka dan mereka hormat hak kita. Ini hak peribadi mereka.

“Saya percaya taktik murah dan lapuk ini adalah taktik mereka yang terdesak,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Presiden parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu berkata, isu yang wajar ditularkan adalah isu salah laku, kecurian wang rakyat, dan rasuah, bukannya isu “makan minum orang”.

“Saya sudah pesan kepada Muda – Jangan terikut-ikut budaya tua dan lapuk begini. Fokus pada kerja dan khidmat kepada rakyat,” menurutnya lagi.

BACA JUGA : Proton bakal keluar X80, X90, SUV baru dan MPV ganti Exora?

Artikel ini disiarkan pada 05/01/2022

COMMENTS

Wordpress (0)