Sultan Selangor tarik balik gelaran darjah kebesaran OC Phang

Sultan Selangor tarik balik gelaran darjah kebesaran OC Phang. Darjah kebesaran bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Phang Ai Tu atau OC Phang ditarik serta dibatalkan berkuatkuasa Oktober lalu.

Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Haris Kasim berkata, penarikan serta pembatalan itu dilakukan sebagai menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan selepas berunding dengan Dewan diRaja Selangor.

Katanya, OC Phang dikurniakan Darjah Kebesaran Dato’- Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (DSSA) pada tahun 2010 dengan gelaran Datin Paduka ditarik balik selepas diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi.

oc phang

“Justeru, keahlian beliau sebagai penyandang darjah kebesaran itu ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa Oktober lalu berikutan beliau tidak layak serta sesuai memegang darjah kebesaran itu.

“Beliau juga dilarang daripada menggunakan gelaran Datin Paduka dan mana-mana pihak turut ditegah memanggil beliau dengan gelaran berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Haris yang juga Pendaftar Darjah Kebesaran Negeri Selangor berkata, perkara itu selaras dengan kuasa Sultan Sharafuddin mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan Statut Darjah Kebesaran berkenaan.

Katanya, baginda memandang berat reputasi penerima Darjah Kebesaran Selangor terutama pegawai yang terbabit pertuduhan perlakuan tidak berintegriti seperti rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa.

“Penerima darjah kebesaran itu seharusnya tidak terbabit dengan salah laku dan jenayah demi melindungi martabat darjah berkenaan serta memelihara status penerimanya,” katanya.

Katanya, Sultan Selangor turut mengingatkan semua pihak bertanggungjawab memastikan langkah wajar dan tindakan tegas dilaksanakan bagi membendung gejala rasuah, pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan amalan tidak berintegriti.

“Ia merangkumi semua penjawat awam, pemimpin, golongan profesional, ahli korporat dan orang perseorangan.

“Langkah itu bagi memastikan negeri ini sentiasa dalam suasana aman dan di bawah tadbir urus yang cekap, amanah serta berintegriti,” katanya.

Pada 19 Januari lalu, sebuah portal melaporkan LPK tidak dapat meneruskan usaha menuntut sebahagian daripada kerugian lebih RM2 bilion yang dikaitkan dengan kontroversi Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Ia berikutan OC Phang diisytihar bankrap oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada September 2018 yang memutuskan beliau bertanggungjawab atas kerugian berkenaan.

BACA JUGA : Setelah fatwa Android Box, mufti digesa jelaskan ‘fatwa’ untuk 5 situasi… No 5 tu win…

COMMENTS

Wordpress (1)
  • comment-avatar

    […] Sultan Selangor tarik balik gelaran darjah kebesaran OC Phang […]