Sulaiman angkat sumpah Ketua Menteri Melaka jam 12.58 tengah malam tadi

Datuk Seri Sulaiman Md Ali dilaporkan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 jam 12.58 tengah malam tadi.

Majlis angkat sumpah Ketua Menteri berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT).

Yang turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak.

Sulaiman, 55, sebelum ini dinamakan sebagai calon Ketua Menteri jika BN menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Sulaiman

Ini adalah kali kedua Sulaiman dilantik sebagai Ketua Menteri selepas pertama kali dilantik ke jawatan itu pada tahun lalu.

Sementara itu, Ka siong mengesahkan upacara itu menerusi hantaran di Facebook.

“Saya dijemput untuk menyaksikan istiadat mengangkat sumpah Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13,” katanya.