Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah mengerakkan satu pasukan untuk memantau perhimpunan yang dianjurkan oleh Sekretariat Solidariti Rakyat di Kuala Lumpur pada 31 Julai 2021 yang dianggarkan telah disertai oleh lebih kurang 1000 peserta.
Pasukan pemantau seramai 7 orang diketuai oleh Pesuruhjaya Jerald Joseph bersama dengan Pesuruhjaya Dato” Mah Weng Kwai dan Dr. Nik Salida Suhaila.
Pemerhatian SUHAKAM mendapati bahawa perhimpunan diadakan secara aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini. SUHAKAM memuji pematuhan oleh penganjur dan juga peserta dalam usaha untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Pandemik yang telah ditetapkan, Kami percaya bahawa langkah-langkah ini boleh ditambah baik pada masa hadapan.
Pihak polis juga dilihat membantu memudah cara perhimpunan melalui rundingan dengan penganjur bagi memastikan perhimpunan dapat dijalankan walaupun pada saat-saat akhir, tidak membenarkan peserta berhimpun di Dataran Merdeka seperti yang dirancang.
Sebagaimana yang dinyatakan di dalam kenyataan media SUHAKAM bertarikh 30 Julai 2021, SUHAKAM menekankan bahawa hak untuk berhimpun dijamin dalam Bahagian Il, Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa semua warganegara mempunyai hak untuk berhimpun secara aman tanpa senjata.
SUHAKAM ingin merakamkan penghargaan kepada mereka yang menghormati hak untuk berhimpun dan bersuara semasa perhimpunan berlangsung.