Sudah tiba masanya Azhar perlu buka mulut, nyatakan kebenaran.Najib Razak mendesak Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun memberi penjelasan mengenai suratnya kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung kedudukan sokongan Ahli Parlimen kepada Muhyiddin Yassin.
Dalam surat bertarikh 10 Ogos itu yang tular di media sosial, Azhar dipetik mengatakan hanya 100 Ahli Parlimen menyokong Muhyiddin.
Najib berkata, surat itu adalah bukti rasmi bahawa Muhyiddin sudah hilang majoriti dan melanggar Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan dan Azhar tidak harus berdiam diri mengenai surat yang tular itu.
“Apatah lagi dengan pengakuan dia (Muhyiddin) semalam bahawa dia tiada majoriti?
“Surat ini dah tular dan Pemuda Umno sudahpun membuat laporan polis dua hari lalu tapi Speaker Dewan Rakyat masih membisu dan tak menafi,” kata bekas perdana menteri itu di Facebook.
Semalam, dalam satu sidang media yang dipancarkan di seluruh negara, Perdana Menteri berkata beliau tidak akan meletakkan jawatan ketika ini kerana tiada seorang pun Ahli Parlimen dapat membuktikan mempunyai majoriti cukup untuk menjadi perdana menteri baru.
“Saya memikirkan dalam keadaan tiada seorang pun ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti pada masa ini, perdana menteri yang baru tidak boleh dilantik menurut perlembagaan.
“Apabila perdana menteri tidak boleh dilantik, maka Kabinet pun tidak boleh dilantik dan kerajaan baru tidak dapat dibentuk,” katanya.
Bagaimanapun, Najib yakin surat Azhar itu “100% tulen”, justeru, sebarang keputusan kerajaan pimpinan Muhyiddin pada hari ini boleh dicabar dalam mahkamah.
“Ini kerana Perdana Menteri ke-8 sudah hilang keabsahan dan kuasa mengikut perlembagaan,” katanya.
Perkara 43 Perlembagaan menyatakan perdana menteri perlu meletak jawatan atau menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen bagi melantik perdana menteri baharu.
Pembangkang menegaskan Muhyiddin tidak berhak “merampas” kuasa Agong untuk menentukan kepimpinan negara, setelah hilang majoriti di Dewan Rakyat.
Alasan bahawa tidak ada calon lain untuk membentuk kerajaan baharu hanya alasan Muhyiddin untuk terus berpaut kepada kuasa, kata beberapa pemimpin pembangkang.
Muhyiddin dikatakan hilang majoriti, apabila 15 Ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan kepada beliau.
Selain itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Shamsul Anuar Nasarah meletak jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli, diikuti Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad sebagai Menteri Pengajian Tinggi.
Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/14/bersuaralah-kata-najib-kepada-azhar-berhubung-surat-sokongan-ahli-parlimen/