Sudah boleh buka pelitup muka bermula 1 Mei – Khairy

Sudah boleh buka pelitup muka bermula 1 Mei – KhairyPemakaian pelitup muka hanya diwajibkan apabila berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam termasuk e-hailing, berkuat kuasa 1 Mei ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, langkah tersebut dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneliti dan melakukan semakan semula ke atas langkah-langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 yang boleh dilaksanakan semasa dalam fasa peralihan ke endemik.

Menurutnya, penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] dan peraturan-peraturan di bawahnya akan dikenakan ke atas individu yang gagal mematuhi arahan tersebut.

“Pelitup muka bagaimanapun boleh ditanggalkan semasa melakukan senaman berat di dalam bangunan tetapi ia hendaklah segera dipakai semula setelah selesai senaman,” katanya pada sidang akhbar di kementeriannya dekat sini pada Rabu.

Beliau berkata, pemakaian pelitup muka terutamanya di dalam bangunan dan pengangkutan awam masih lagi penting untuk melindungi diri serta orang di sekeliling terutamanya mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan individu immunocompromised.

Khairy berkata, pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka adalah atas pilihan namun amat digalakkan.

“Pemakaian pelitup muka mampu mengurangkan penularan jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, KKM turut menyemak keperluan penjarakan fizikal dalam prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) terbitan 1 April 2022.

“Mengambil kira semua aktiviti telah dibenarkan dengan penggunaan 100 peratus kapasiti ruang, maka penjarakan fizikal di antara individu atau kumpulan tidak diperlukan namun begitu, penjarakan fizikal digalakkan dalam keadaan tidak memakai pelitup muka,” katanya.
TONTON :

BACA:

Nak elak jem teruk, ini senarai jadual perjalanan lebuhraya yang wajib anda tahu

KWSP : Cara daftar anak umur 14 tahun ke atas

CATEGORIES