Suami pukul isteri hingga koma mengaku tidak bersalah, mohon jaminan dikurangkan kerana tanggung 3 isteri

Suami pukul isteri hingga koma mengaku tidak bersalah, mohon jaminan dikurangkan kerana tanggung 3 isteri

Seorang lelaki yang didakwa memukul isterinya hingga koma pada 4 Mei lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini, hari ini.

Tertuduh, Rosmaini Abd Raof, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mabel Sheela Victor Mutiah.

Mengikut kertas pertuduhan, Rosmaini didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isteri keduanya Jahidah Nordin dengan memukul bahagian kepala, muka dan tangan selain menghentak kaki pada belakang badan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Blok B, Scott Tower, Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin pada 4 Mei lalu sekitar jam 6 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, serta 326A kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pegawai pendakwa raya, Nur Sulehan Abd Rahman menawarkan jaminan sebanyak RM30,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan atas alasan menanggung tiga isteri dan tujuh anak.

Hakim Mabel Sheela Victor Mutiah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan dua penjamin.

Tertuduh juga dilarang mengganggu mangsa dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Julai ini.

Terdahulu, suspek yang merupakan peniaga ditahan di tepi jalan kawasan Taman Bukit Angsana, Kuala Lumpur ketika keluar membeli makanan sebelum direman enam hari bermula 12 Jun hingga hari ini.

Dalam kejadian pada 4 Mei lalu, seorang kakitangan awam sebuah jabatan kerajaan di Johor bertarung nyawa selepas parah dipukul suaminya.

Mangsa yang hamil empat minggu itu mengalami kecederaan parah di kepala sehingga sebahagian tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak disyaki dipukul suaminya.

Kejadian yang menimpa wanita itu menjadi tular selepas adik mangsa, Fazariah Nordin memuat naik keadaan kakaknya di laman sosial.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pukul-isteri-hingga-koma-peniaga-mengaku-tidak-bersalah-303608