Studio Sri Pentas 2 disita MBSA

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyita Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini selepas mendapati berlaku aktiviti tanpa permit dan kebenaran pihaknya di premis itu semalam.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya tidak pernah memberikan sebarang permit hiburan kepada penganjur untuk menganjurkan karnival sambutan ulang tahun sebuah syarikat beli-belah dalam talian.

“MBSA tidak pernah memberikan sebarang permit hiburan kepada pihak berkenaan bagi penganjuran karnival yang dijadual berlangsung di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral selama dua hari bermula semalam.

“Semakan dibuat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mendapati pihak penganjur tidak memperoleh permit dari agensi keselamatan terbabit,” katanya menerusi kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, Jabatan Pelesenan MBSA bersama PDRM mengadakan operasi bersama dan mengambil tindakan penguatkuasaan dengan menyita studio terbabit semalam.

Dalam pada itu, pihak MBSA mengingatkan semua pihak supaya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang dikuatkuasakan bagi menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19).

COMMENTS

Wordpress (0)