Status Negara Maju : Kita sedang berundur ke belakang

Kita telah melepasi tahun 2020 tanpa mencapai status negara maju sebagaimana kita sasarkan. Walaupun keadaan ini tidak mengejutkan, namun ia tetap sangat mengecewakan kerana Malaysia sebenarnya mempunyai segala kemampuan dan potensi untuk ke arah itu.

Apa yang lebih mengecewakan, kita bukan sahaja tidak bergerak lebih maju ke depan, bahkan kita mengundur kebelakang dan bergerak kearah bertentangan ; menuju zaman kegelapan.

Saya hairan bahawa kita tidak terkejut atau kecewa dengan situasi ini. Sesungguhnya kita telah diajar untuk merasa puas dengan pencapaian yang biasa-biasa, dan lebih senang berada di zon selesa berbanding cuba untuk membawa diri lebih jauh kehadapan.

Walaupun negara jiran kita dalam negara negara ASEAN telah mengatasi Malaysia dalam banyak sudut, pemimpin kita berpuas hati selagi mereka boleh kekal berkuasa walaupun melalui pintu belakang dan tidak dipilih oleh rakyat melalui proses pilihan raya.

Kerajaan sepatutnya terdiri dari kumpulan cerdik pandai yang dipilih oleh rakyat, dan bertanggungjawab terhadap amanah kepimpinan yang diberikan oleh rakyat.

Namun kerajaan yang berkuasa hari ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi semakin bersifat feudal. Seorang senator kerajaan telah mengesa hukuman tegas dikenakan terhadap mereka yang mengkritik Perdana Menteri. Senator ini sememangnya terperangkap dalam ruang masa pemikiran seorang feudalis.

Dari pemikiran feudal muncul undang-undang darurat yang tidak adil dan bersifat dua darjat. Seorang menteri dibenarkan untuk kuarantin selama 3 hari tetapi rakyat kebanyakan biasa pula perlu dikuarantin selama 10 hari. Mereka seolah olah kebal dan tidak boleh dijangkiti.

Disaat menteri dapat melepaskan diri apabila tidak mematuhi SOP yang ditetapkan oleh KKM, seperti gagal mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup separuh muka, 5 orang rakyat marhen pula yang sedang menjalankan tugas sebagai ‘rider’ Foodpanda, didenda RM1000 setiap seorang kerana berehat makan bersama, walaupun pendapatan mereka hanya RM3-5 untuk setiap satu tugasan hantaran.

Ironi apabila kejadian ini berlaku di parlimen Kuala Nerus, dimana wakil rakyatnya adalah menteri yang pulang dari Turki tanpa kuarantin diri dan tidak dihukum dengan setimpal! .

Ikan kecil dihukum sehabisnya manakala jerung besar terus dibiar bebas melalukan kesalahan. Malaysia Boleh!?

Menteri Perumahan pula dengan bangga mengumumkan satu lagi projek besar untuk warga tua dimana mereka ini akan diasingkan dari masyarakat, walaupun sebenarnya norma dunia hari ini adalah meletakkan warga tua bersama masyarakat muda agar mereka lebih bersemangat dan bermotivasi untuk meneruskan kehidupan. Pola pemikiran menteri ini ternyata tidak kontemporari, dan tidak juga selari dengan ajaran islam yang pastinya tidak mahu anak anak mengabaikan orang tua mereka.

Setiap hari kita melihat sesuatu yang mengesahkan bahawa Malaysia telah kembali ke zaman kegelapan yang muram, di mana penjarahan kekayaan negara telah disusun dengan begitu rapi untuk golongan tertentu sahaja agar diterima oleh rakyat sebagai norma baharu.

Negara jiran kita Indonesia telah bertindak mereformasikan struktur pentadbiran dan dasar mereka yang seterusnya menarik minat ramai pelabur asing kesana bahkan perang yang pernah melanda negara negara Indo-China juga tidak menghalang mereka dengan cepat mencapai pembangunan.

Tetapi pemimpin Perikatan Nasional hari ini memberitahu kita bahawa semuanya baik sahaja dan meminta kita berterima kaseh adanya sementara mereka dan anak-anak mereka terus menjarah kekayaan negara kita yang memindahkan kekayaan mereka ke Switzerland dan Eropah.

Perdana Menteri yang mengelar dirinya Abah, memberitahu Mak Cik Kiah bahawa dia akan menjaga Mak Cik Kiah dan anak anak.

Tetapi dengan anggota kabinet paling tidak cekap di dunia walaupun saiz mereka mencecah 70 orang menteri dan timbalan, penularan Covid19 yang terus membarah dalam negara kita hingga kini belum ada rakyat Malaysia menerima suntikan vaksin dari kerajaan, tetapi Indonesia yang mempunyai 250 juta penduduk iaitu hampir 8 kali ganda dari jumlah penduduk Malaysia yang berjumlah sekitar 30 juta orang, telah lama memulakan suntikan vaksin kepada rakyatnya.

Disaat kebobrokan kepimpinan negara hari ini, tokoh agama memilih untuk menasihati para pemimpin secara berbisik, itupun jika ada teguran dan nasihat, cukup berbeza sewaktu pentadbiran terdahulu kelompok agamawanlah yang dilihat cukup lantang berteriak dalam apa jua isu sekalipun terutama terhadap musuh politik mereka, samada bukan Islam mahupun sesama Islam.

Abah dan 70 orang menterinya, terus menerus melanggar SOP yang mereka sendiri tetapkan tanpa dikenakan tindakan sewajarnya namun rakyat terus dihukum tanpa budi bicara.

Inilah “Norma Baharu” yang terpaksa diterima oleh rakyat yang sememangnya kerajaan PN hari ini membawa Malaysia ke zaman kegelapan.

Tidak hairan juga ada suara dari PN yang tidak bersetuju kearah perlaksanaan undi umur 18, kerana Abah dan 70 menterinya takut dengan undi anak muda yang pasti akan menghukum mereka!

Kita hanya mahu keadilan buat semua!

SENATOR DATO’ RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Terengganu
Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu.