SPRM gempur 8 agensi, 9 syarikat salahguna dana Covid-19. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu lapan agensi kerajaan dan sembilan syarikat hari ini sebagai sebahagian daripada siasatannya berhubung dakwaan penyelewengan RM92.5 bilion oleh kerajaan pimpinan Perikatan Nasional sebelum ini.
Sumber yang rapat dengan perkara itu berkata lapan agensi kerajaan itu menerima “peruntukan besar” daripada pakej rangsangan yang diluluskan kerajaan pada 2020 dan 2021.
Sumber itu berkata susulan serbuan ke atas lapan agensi kerajaan itu, SPRM turut menyerbu sembilan syarikat “untuk mendapatkan dokumen tertentu”. Sembilan syarikat itu dipercayai “pembekal utama” lapan agensi itu.
Sumber itu berkata masih terlalu awal untuk mendedahkan butiran lanjut, sambil menambah bahawa siasatan masih dalam “peringkat pertama”.
“SPRM memerlukan lebih banyak masa untuk menyemak secara menyeluruh kes dan mengesan sebarang rasuah, salah guna kuasa, atau penyelewengan,” kata sumber itu.
Sebelum ini, SPRM berkata siasatannya terhadap penyalahgunaan pakej rangsangan Covid-19 akan tertumpu kepada RM92.5 bilion yang dibelanjakan oleh kerajaan terdahulu.
Dalam satu kenyataan, SPRM berkata kementerian kewangan telah memberikan butiran mengenai pecahan dana di bawah pakej rangsangan ekonomi pada 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan Covid-19.
Ia berkata siasatan awal mendapati dianggarkan RM530 bilion diperuntukkan. Berdasarkan jumlah itu, RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan dana kerajaan.
Selepas itu, dilaporkan SPRM akan memanggil bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan dua bekas menteri Kabinet bagi memudahkan siasatan berhubung perkara itu.