Sistem pendidikan sektarian dan berpuak punca taksub dan pertelingkahan

Saya pernah mendengar pidato Dr Yasir Qadhi berkenaan masalah perpecahan dan pertelingkahan di kalangan ummah.

Antara punca utama pertelingkahan ini menurut beliau ialah sistem pendidikan Islam tradisional yang dari awal lagi bersifat sektarian (berpuak).

Dari dulu lagi, dalam sistem pengajian Islam tradisional, seorang murid biasanya akan berpegang kuat dengan pandangan gurunya. Mana-mana aliran yang dianggap bercanggah dengan pandangan atau pendirian gurunya dalam satu-satu isu akan ditolak dan dianggap sesat.

Keadaan ini menjadi semakin buruk apabila kepelbagaian ini dicampur aduk pula dengan pertembungan dan kepentingan politik. Apabila pertembungan ijtihad agama mula menembusi dimensi politik dan percaturan kuasa, maka pertelingkahan menjadi semakin tajam dan kejam.

Kesannya sangat besar. Semangat dan retorik sektarian menjadi semakin tebal. Permusuhan, kebencian, dendam, dan syak wasangka sudah tidak lagi dapat diurus dengan sewajarnya. Sentimen ini kemudian diwarisi dari satu generasi kepada generasi seterusnya.

Kita semua hari ini kebanyakannya hanya mewarisi kedangkalan ini.

Padahal kita semua diperintahkan menyembah Allah, bukan menyembah agama, bukan menyembah mazhab, bukan menyembah dalil, bukan menyembah ulamak, dan bukan menyembah apa-apa aliran pemikiran.

Sumber: