Silakan jika mahu tinggalkan PKR – Anwar

Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menghalang mana-mana pemimpin untuk meninggalkan parti itu jika ia adalah kemahuan mereka.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ramai yang lurus ketika dalam kesusahan tetapi gagal ketika senang.

“Dengan adanya pembersihan ini, kelompok yang sebelum ini gelisah sudah kembali semula kepada parti malah anak muda juga mula sertai cabang PKR.

“Mereka yang keluar itu kini tengah mencari di mana mahu bertanding (Pilihan Raya Umum). Mereka yang keluar itu juga kini lebih banyak senyum dan bukan marah lagi dengan saya,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Penerangan Keadilan di sini hari ini.

Menurutnya, kekuatan cabang PKR tidak terjejas walaupun pengkhianatan berlaku dalam parti itu.

“Satu dan dua cabang bertindak keluar parti itu bukan baharu. Mereka ini sejak pemilihan parti lagi sehingga sekarang bertindak namun begitu cabang-cabang di Malaysia semakin kukuh.

“Bagi media ia mungkin perkara baharu tetapi sebenarnya sudah lama. Mereka ini juga tidak pernah hadir dalam program yang saya hadiri,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar meminta supaya cabang PKR tidak mengikut perangai UMNO yang mencantas cerdik pandai menyertai pentadbiran di peringkat bahagian.

“Jangan jadi UMNO, orang cerdik pandai masuk mereka cantas. Di Melaka dahulu ada pengerusi bukan siswazah tetapi bila ada mereka yang lebih dari sudut pendidikan terus tidak dibenarkan,” katanya.

Katanya, pemimpin dan ahli PKR perlu ingat tentang perjuangan mereka di jalanan selama ini.

“Semasa di jalanan apa kita marah? Isu kroni. Bila berkuasa kita hilang prinsip itu…sebab itu saya kata orang lama belum tentu akan kekal berprinsip.

“Ada yang masuk kerana kerlipan kuasa…ada orang baru masuk PKR kerana faham dengan perjuangan. Parti ini kekal dianggap relevan kerana kita bercakap soal reformasi,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/94025/BERITA/Politik/Tiada-halangan-pemimpin-tinggalkan-PKR-Anwar