UMNO perlu bersiap sedia untuk bergerak bersendirian bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sekiranya Pas berterusan bermain tarik tali dalam memuktamadkan kerjasama Muafakat Nasional (MN).
Penasihat UMNO Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, beliau melihat Pas sukar memberikan komitmen menjayakan koalisi MN yang turut disertai UMNO kerana parti itu lebih memikirkan kepentingan semasa berbanding kepentingan masa hadapan.
Menurutnya, pemimpin-pemimpin Pas sebenarnya menyedari manfaat besar yang akan tercapai sekiranya koalisi MN dijayakan, namun mereka seolah-olah tidak memikirkan kepentingan jangka masa panjang iaitu PRU15.
“Daripada awal, Pas dapat melihat kejayaan dicapai MN termasuk menang beberapa pilihan raya kecil (PRK) berturut-turut.
“Kalau Pas-UMNO memuktamadkan kerjasama politik, gabungan MN akan membentuk pakatan bersama paling kuat dalam sejarah.
“Bagi saya, situasi Pas dalam MN diibaratkan ‘kalau hendak seribu daya, kalau tidak hendak seribu dalih’,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata demikian sewaktu mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Muhamad Khir Toyo yang mendakwa koalisi MN kini di ambang ‘perceraian’.
Terkini, Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menggesa Pas menyatakan pendirian sama ada mahu terus bersama MN atau Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi PRU15.
Muhammad yang juga bekas Menteri Besar Selangor berkata, di sebalik kesukaran Pas memuktamadkan kerjasama dengan UMNO, beliau berpandangan pucuk kepimpinan UMNO masih beranggapan MN wujud.
Menurutnya, UMNO masih menunggu jawapan Pas sehingga tibanya PRU15 kerana parti itu sedar koalisi MN adalah satu kekuatan besar yang harus direalisasikan.
“Dalam soal pembahagian kerusi pilihan raya, pemimpin Pas sendiri pun tahu formula terbaik mengenainya.
“Mereka tahu antara UMNO dan PN, siapa yang lebih kuat, mempunyai akar umbi dan jentera kukuh.
“Saya nasihatkan Pas jangan benda senang hendak dijadikan susah kerana yang rugi nanti adalah parti-parti Melayu sendiri,” katanya.
Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/124743/BERITA/Politik/Sukar-pertahan-MN-jika-Pas-terus-main-tarik-tali-Mat-Taib