Sewajarnya blok pembangkang perkukuh kerjasama sesama sendiri dahulu

Sewajarnya blok pembangkang perkukuh kerjasama sesama sendiri dahulu

Kenyataan Timbalan Presiden Amanah DS Salahuddin Ayub bersama empat lagi pimpinan parti pembangkang wajar diberi perhatian. Sememangnya satu kelaziman bagi blok pembangkang untuk diusahakan penyatuan bagi menghadapi mainan dan tipu helah kerajaan memerintah.

Ini juga merupakan strategi yang sama diguna pakai oleh Almarhum Dato Fadzil Noor ketika memimpin blok pembangkang dahulu. Membina kesatuan pembangkang hari ini, adalah sebahagian daripada usaha semak dan imbang yang berkualiti.

Hakikat yang perlu disedari, kerajaan hari ini bukan kerajaan yang normal. Kerajaan hari ini adalah kerajaan yang telah mencemar demokrasi negara. Mereka sudah dikenali sebagai golongan yang ‘gamak’ buat apa sahaja demi kuasa. Tergadai segala prinsip & agenda perjuangan hanya kerana ingin berkuasa. Adakah wajar pembangkang turut dengan sikap kerajaan yang menggadai segalanya demi kuasa?

Kenyataan ini wajar disokong dan didokong oleh semua pihak yang berada di dalam blok pembangkang. Ini juga bertujuan bagi memastikan hala tuju gabungan pembangkang menghadapi PRU15 sekaligus usaha membaiki sistem demokrasi negara tecapai. Usaha ini demi memastikan kelangsungan perjuangan, kestabilan negara terjamin dan Malaysia dapat kembali ke landasan semula. Demi Negara dan Demi Rakyat Malaysia.

 

ABBAS AZMI
Ahli Jawatankuasa
Pemuda AMANAH Nasional

Sumber: