‘Setiakawan tidak boleh dijual beli’ – Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memuatnaik satu gambar bersama Mohamad Sabu yang dipercayai pertemuan terkini kedua tokoh tersebut.

Gambar yang dimuat naik dengan caption “setiakawan tidak boleh dijual beli” itu ternyata mengundang perhatian dari netizen.

Hubungan PKR dengan parti-parti gabungan sebelum ini dikatakan agak “bergelora” ekoran perbincangan yang sedang berlaku antara pemimpin Amanah dan DAP dengan blok Tun Mahathir Mohamad.

Perbincangan untuk mengambil alih kerajaan dari tangan “pengkhianat” yang sepatutnya berlangsung secara senyap itu menjadi buah mulut di laman sosial apabila penyokong Datuk Seri Anwar dilihat “menyerang” kepimpinan Amanah dan DAP kerana “tidak setia” dengan Anwar dan terikut dengan Tun Mahathir.

Walaupun Datuk Seri Anwar dan kepimpinan Amanah serta DAP menafikan hubungan mereka renggang namun aksi serang menyerang terutama dari kem Anwar terhadap pemimpin DAP dan Amanah masih tidak berhenti.

Penasihat umum Amanah sebelum ini mengeluarkan kenyataan agar penyokong PH bertenang menghadapi gelora ini dan tidak mudah termakan dengan permainan musuh.