Setelah teruk dikritik tak balik kawasan, ahli parlimen Tawau tampil dengan penjelasan

Setelah teruk dikritik tak balik kawasan, ahli parlimen Tawau tampil dengan penjelasan

Ahli Parlimen Tawai Christina Liew menganggap laporan menyatakan dia jarang-jarang berada di kawasan yang diwakilinya – dan kali terakhir adalah pada Sept tahun lalu – sebagai tidak tepat.

Kata Liew boleh dikatakan saban minggu dia balik ke Tawau.

“Saya mengedarkan makanan dan barangan keperluan lain kepada orang ramai di Tawau. Dan pada ketika tertentu ada sekatan perjalanan tapi biasanya saya akan balik dengan kereta kalau tak boleh menaiki kapal terbang,” katanya.

Dia berkata demikian sebagai reaksi kepada laporan Malaysiakini semalam yang memetik kenyataan aktivis serta penduduk Tawau, Rahman Imuda, yang mendakwa kali terakhir pemimpin PKR itu dilihat di situ ialah semasa Sabah mengadakan pilihan raya negeri.

Liew menjadi sasaran kritikan sejak kelmarin apabila memberitahu dia sedang menyiapkan 2,000 bantuan makanan bagi kawasan Tawau dan akan diedarkan dalam tempoh seminggu dua lagi.

“Lagi seminggu dua saya akan balik Tawau, dan saya akan berikan kepada mereka,” kata Liew kepada Malaysiakini.

Terdahulu Liew ditanya mengenai nasib penduduk Kampung Muhibbah Raya, Tawau, yang dilanjutkan tempoh perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sehingga Mei 8.

Kekecewa dengan pelanjutan itu beberapa individu mengadakan protes aman yang kemudian membawa kepada penahanan tujuh orang termasuk aktivis Borneo Komrad dan penduduk kampung.

Kebanyakan penduduk Kampung Muhibbah Raya bekerja dengan gaji harian. Pelaksanaan PKPD bermakna mereka tidak boleh bekerja sekali gus tiada pendapatan untuk menyara hidup.

Potong gaji, kurangkan belanja

Rahman turut memuat naik imej mesej yang dihantarnya kepada Liew – melalui WhatsApp dan tidak berbalas – di Facebook.

Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah Razeef Rakimin turut mengkritik Liew dan berkata, tempoh dua minggu untuk mengedarkan bantuan makanan itu keterlaluan lamanya.

Kata Liew untuk kawasan yang dikenakan PKPD, pengagihan bekalan makanan dan keperluan harian terletak pada tanggungjawab pihak berkuasa tempatan.

Memetik laporan berita pengerusi PKR Sabah itu berkata Majlis Perbandaran Tawau menyatakan sebanyak 540 bakul makanan sudah dihantar ke kampung terbabit.

“Mungkin ada salah faham. Menurut pihak berkuasa tempatan sebanyak 540 bakul makanan sudah diedarkan tapi tujuh orang (yang ditahan polis kelmarin) berkata mereka kelaparan,” katanya.

Protes aman di Kampung Muhibbah Raya kelmarin
Selaku ahli parlimen Tawau dan Adun Api-Api, kata Liew, semua gajinya dibelanjakan untuk membeli makanan dan keperluan harian penduduk di kawasannya.

Tambah Liew lagi dia juga memotong gaji kakitangan dan perbelanjaan pejabatnya untuk membantu penduduk terbabit.

“Kadang-kadang saya mengumpul dana untuk memberi barang keperluan.

“Mengapa perlu dua minggu untuk mengedarkan 2,000 bakul makanan tu? Sebab setiap kali cukup wang untuk membeli keperluan harian, saya akan pergi (pulang ke Tawau),” katanya.

Sebelum aktivis dan penduduk setempat membuat protes itu, katanya, dia memang bercadang untuk menyediakan bantuan kepada penduduk Kampung Muhibbah Raya.

Namun katanya dia perlukan masa selama dua minggu untuk menyediakan 2,000 bakul makanan berkenaan.

Dia juga menunjukkan salinan berita yang melaporkan bantuan makanan serta keperluan harian yang disumbangkannya kepada penduduk di sekitar Tawau antara Sept 2020 dan April lalu.

Antarana pelitup muka, perisai muka, cecair sanitasi, susu tepung dan bakul makanan.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/572311

COMMENTS