Setelah teruk dihentam orang ramai, Masjid Putra akhirnya mohon maaf

Pihak pengurusan Majid Putra di Putrajaya hari ini memohon maaf kepada orang ramai atas “kekhilafan” yang berlaku ketika mereka mengendalikan kemasukan jemaah untuk solat Jumaat semalam.

Dalam kenyataan dikeluarkan Masjid Putra hari ini mereka berkata, pihak pentadbiran akan berusaha menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah “daripada pelbagai kedudukan”.

Katanya ia adalah langkah untuk memelihara nama baik institusi masjid.

 

Setelah teruk dihentam orang ramai, Masjid Putra akhirnya mohon maaf

“Bagi memelihara nama baik institusi masjid, pihak pentadbiran Masjid Putra akan berusaha sedaya upaya menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah yang terdiri daripada pelbagai kedudukan.

“Justeru kami bersedia mempertingkatkan lagi kualiti pengurusan demi memastikan pelanggan setia kami gembira dan berpuas hati dengan khidmat yang diberi,” katanya dalam kenyataan.

Ia turut dikongsi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad pagi ini.

Semalam tular satu klip video pendek menunjukkan orang ramai berkumpul di depan pintu pagar Masjid Putra untuk mendapatkan tempat bagi melaksanakan solat Jumaat di pusat pentadbiran negara berkenaan.

Ketika mereka masih berharap, kelihatan seorang lelaki keluar dari sebuah kenderaan mewah masuk ke masjid berkenaan diiringi dua lelaki dipercayai pengawal keselamatannya.

Ia menyentuh hati orang ramai yang turut berasa sedih kerana beranggapan kumpulan orang awam terbabit tidak mendapat layanan yang sepatutnya walaupun mereka hanya mahu masuk ke masjid.

Untuk rekod ketika ini prosedur operasi standard (SOP) untuk solat di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan masih dikekalkan di sebalik peralihan status Lembah Klang dari fasa satu kepada fasa dua Pelan Pemulihan Negara.

Pentadbiran Masjid Putra berkata kehadiran jemaah di situ – sama ada untuk solat fardu lima waktu atau solat Jumaat – adalah tertakluk kepada garis panduan dan ketetapan SOP ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Untuk solat Jumaat, katanya, kapasiti jemaah di Masjid Putra ditetapkan seramai 300 orang.

“Daripada jumlah tersebut, pihak pengurusan masjid turut memperuntukkan sejumlah kuota untuk jemaah tetap yang mendaftar lebih awal dan memaklumkan jangkaan waktu ketibaan bagi memudahkan pengurusan memastikan jumlah kehadiran bertepatan dengan kuota yang ditetapkan,” katanya.

Tidak dapat dinafikan, tambahnya, saban minggu Masjid Putra menerima kehadiran jemaah solat Jumaat melebihi kapasiti yang ditetapkan malah kedatangan itu bermula seawal jam 11 pagi.

Apabila kapasiti mencukupi, pihak pengurusan akan menutup pintu pagar utama menyebabkan jemaah yang hadir kemudian tidak dapat memasuki masjid.

“Pihak masjid telah memaklum dan menasihatkan para jemaah secara baik mengenai perkara tersebut,” katanya.

Masjid Putra juga, kata kenyataan tersebut sedia menerima sebarang cadangan dan maklum balas daripada orang ramai yang boleh disalurkan terus kepada pihak pengurusan.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/590893

BACA JUGA : Video tular VIP lewat boleh masuk, rakyat berbaris tak dapat masuk masjid undang kemarahan ramai

COMMENTS