Setelah portal pro Azmin dedah dokumen, Khalid Samad jelaskan kronologi sebenar

mou

Terima kasih kepada sebuah laman berita pro bekas Menteri Ekonomi PH kerana telah mendedahkan surat yang portal itu maksudkan dalam beritanya sebelum ini.

Dengan pendedahan ini bolehlah saya memberikan penjelasan apa yang berlaku di sebalik tandatangan dan surat itu.

Pemohon adalah sebuah syarikat pemaju perumahan yang membuat permohonan untuk mendapatkan tanah di Kuala Lumpur bagi membuat projek pembangunan bercampur termasuk 54% darinya adalah rumah mampu milik.

Setelah portal pro Azmin dedah dokumen, Khalid Samad jelaskan kronologi sebenar

Selepas menerima surat pertama dari pemohon, saya telah mengarahkan Setiausaha Politik saya, Saudara Azli Yusof untuk merujuk perkara ini kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan juga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengetahui perancangan penggunaan tanah berkenaan sekiranya ada.

Hampir setahun kemudian, selepas saya menerima surat kedua, barulah saya memohon Exco Tanah Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk mempertimbangkan kelulusan permohonan ini selepas mendapat gambaran yang jelas mengenai status tanah ini dari PTG dan DBKL.

Saya sendiri tidak ada dalam Exco Tanah Kuala Lumpur dan Exco ini bukan di bawah kuasa saya. Oleh itu wajar saya memberikan pandangan mengenai cadangan pembangunan ini secara bertulis.

Saya mencadangkan agar permohonan ini diluluskan kerana ia selaras dengan wawasan Kementerian Wilayah Persekutuan ketika itu iaitu untuk menghasilkan satu juta rumah mampu milik di Kuala Lumpur.

Ini kerana, rumah mampu milik diperlukan oleh golongan berpendapatan rendah dan menengah di Kuala Lumpur kerana harga rumah biasa adalah mahal dan tidak mampu dimiliki oleh golongan ini yang ramai bekerja di Kuala Lumpur.

Perkataan yang lebih sesuai digunakan mungkin adalah ‘mohon dipertimbangkan’ atau ‘diharap pihak tuan meneliti perkara ini’ namun ayat “harap dapat diluluskan kerana..” tidak juga merupakan arahan. Ianya berbeza dengan “Sila luluskan”.

Namun, saya pertegaskan di sini, permintaan saya agar tanah ini diluluskan adalah untuk keperluan memenuhi wawasan mendapatkan satu juta rumah mampu milik di Kuala Lumpur. Tanpa tanah, di manakah rumah ini hendak dibina.

Exco yang akan mempertimbangkan permohonan ini juga bukan di bawah bidang kuasa saya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan kerana ia terletak terus di bawah KSN. Dan tidak mungkin seorang Menteri mengarah KSN yang lapor diri pada YAB Perdana Menteri.

Oleh itu, permohonan tetap perlu melalui proses biasa termasuk syarat² yang ingin dikenakan serta harga yang perlu dibayar untuknya. Saya hanya menyokong permohonan ini atas sebab projek yang ingin dilaksanakan.

KHALID ABD SAMAD
MP Shah Alam
Pada 27 September 2021

BACA JUGA : Portal dakwa wujud surat sokongan kepada pemaju, akhirnya Khalid Samad buka mulut

COMMENTS

Wordpress (0)