Setelah Pemuda Amanah bangkitkan isu pembatalan Skim Rezeki Ternak, Veterinar sahkan ia diteruskan

Berhubung Notis Pembatalan Skim Rezeki Ternak Perak 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak pada Rabu, 2 September, Pemuda Amanah Perak telah menuntut pihak kementerian memberi penjelasan tentang perkara tersebut.

Pemuda Amanah Perak mengucapkan terima kasih atas maklum balas daripada pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang akur dengan desakan kami supaya skim tersebut diteruskan.

Dengan penarikan semula hasrat Kementerian untuk memberhentikan skim tersebut, ia mengesahkan dakwaan kami bahawa keputusan yang dibuat sebelum ini tidak diteliti secara menyeluruh dan tergesa-gesa.

Justeru kami ingin menasihatkan kepada pihak yang berkaitan agar membuat penilaian dengan meneliti semua aspek termasuk mengambil kira kesan kepada golongan sasar sebelum satu-satu keputusan dibuat.

Kami juga ingin menyeru kepada semua penternak dan mereka yang layak untuk mengambil peluang ini supaya objektif skim ini dapat dicapai seperti mana yang telah digariskan oleh Menteri terdahulu semasa program ini dilancarkan.

Khairol Najib Hashim
Ketua Pemuda Amanah
Negeri Perak
4 Sept 2020

Sumber :