Setelah kibar bendera putih, bantuan datang mencurah

“Saya tidak tahu sama ada tindakan kibar bendera putih ini betul atau tidak… saya hanya lakukannya demi anak dan isteri yang hamil enam bulan kerana kami terputus bekalan makanan.”

Itu luahan jurukimpal, Zulkiflie Samsudin, 39, di Taman Pulai Indah, Kangkar Pulai di sini, yang kehilangan hampir separuh punca pendapatan bulanan sepanjang pandemik COVID-19.

Dia yang bekerja sendiri menyara isteri, Nur Aqeela Atika Mohd Dali, 29, anak perempuan, Putri Nur Zahirah, 9, yang mengalami masalah penglihatan dan anak lelaki, Muhammad Putra Riqzi Zilhelmi berusia 12 bulan.

bendera putih

Menurutnya, dia tidak mampu menanggung kos pembelian susu dan lampin pakai buang anak bongsu selain tidak mampu melangsaikan sewa rumah mahupun membayar ansuran kereta.

“Saya sedih kerana tidak mampu menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan sebaik mungkin kerana masalah kewangan dan keadaan saya bertambah buruk sejak awal tahun ini.

“Saya kibarkan bendera petang semalam dan Alhamdulillah bantuan dan sumbangan diterima mencurah-curah hingga dijangka mampu menampung bekalan dapur keluarga selama beberapa bulan.

“Ada juga netizen yang sanggup melangsaikan sewa rumah yang tertunggak selama sebulan sebanyak RM800 selain bayaran ansuran kereta selama tiga bulan bernilai keseluruhan RM1,200,” katanya.

Zulkiflie berkata, dia berterima kasih kepada semua yang membantu dan keluarganya juga mengambil keputusan untuk mengalihkan bendera.

“Buat masa ini barangan keperluan kami sudah mencukupi dan begitu juga dengan sumber kewangan.

“Saya amat bersyukur atas bantuan diterima dan hanya Allah mampu membalas jasa baik semua penderma,” katanya ketika ditemui.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/833658/kibar-bendera-putih-demi-isteri-anak

Jika Anda Terlepas : Pfizer campur AstraZeneca mampu beri hasil lebih ‘tip top’

CATEGORIES