Setelah didedah akhirnya Hotel Primula Beach ditutup 2 minggu

Setelah didedah akhirnya Hotel Primula Beach ditutup 2 minggu.Susulan pendedahan yang dibuat Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berhubung penularan jangkitan kes Covid-19 di hotel milik kerajaan negeri Primula Beach Hotel akhirnya ditutup selama 14 hari bermula hari ini sehingga 18 September.

“Akhirnya selepas 24 jam kami dedah dan menyampaikan rintihan serta rayuan pekerja Primula Beach Hotel , pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengarahkan Hotel Primula, Terengganu ditutup jam 6.30 petang 5 hb. September 2021,” kata Raja Bahrin.

Pada 4hb September lalu, AMANAH Terengganu menerima aduan mengatakan Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu terus dibenarkan beroperasi setelah beberapa kakitangan hotel, telah didapati positif Covid-19 dan diarahkan kuarantinkan diri.

“Kami merasa bertanggungjawab untuk respon aduan terbabit. Telah timbul persoalan sebelum ini, kenapa tiada notis pengumuman awam secara meluas dibuat tentang insiden positif Covid-19 membabitkan kakitangan hotel di Primula Hotel yang merupakan milik kerajaan negeri Terengganu.

didedah

Notis arahan tutup oleh KKM

“Kerajaan Negeri Terengganu sebagai pemilik Hotel Primula, perlu bersikap lebih bertanggungjawab untuk melindungi orang ramai dari risiko jangkitan Covid-19,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Terengganu, Dr Alias Razak berkata, arahan penutupan itu dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu (PKDKT) selepas mengambil kira hasil daripada penilaian risiko susulan dari kes pertama COVID-19 yang dilaporkan pada 20 Ogos lalu.

“Penutupan sesuatu premis adalah mengikut prosedur standard Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Penutupan bahagian dapur dan restoran hotel berkenaan pada 29 Ogos lalu adalah berdasarkan penilaian risiko yang jangkitan hanya tertumpu di bahagian berkenaan.

Setakat hari ini, jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dalam kalangan pekerja adalah 26 kes yang turut membabitkan pekerja daripada bahagian yang berlainan.

Rentetan daripada itu, pihak PKDKT mengarahkan penutupan keseluruhan premis bermula hari ini sehingga 18 September bagi tujuan sanitasi dan mengekang penularan dalam kalangan pekerja di hotel berkenaan serta ujian saringan pekerja akan bermula esok.

Berita Penuh : https://malaysiadateline.com/selepas-24-jam-dedah-akhirnya-hotel-primula-beach-ditutup-14-hari/

BACA: Sanggup ‘sogok’ RM10,000 pemandu ambulans untuk rentas negeri balik kampung