Seremban kembali diisytihar sebagai zon merah Covid-19

Seremban kembali diisytihar sebagai zon merah Covid-19, menjadikan dua daripada tujuh daerah di Negeri Sembilan termasuk dalam kategori itu.

Dua lagi daerah adalah zon kuning manakala tiga lagi zon hijau.

Seremban kembali zon merah selepas merekodkan tujuh jangkitan baru, menjadikan jumlah kes aktif di sana kepada 42 kes.

Terdahulu daerah Pedas, yang terletak bersebelahan dengan Seremban, juga dikategorikan sebagai zon merah selepas penularan Covid-19 di sebuah kilang di sana. Pada masa ini terdapat 130 kes aktif di sana.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), zon hijau ialah kawasan yang bebas Covid-19, manakala bagi daerah yang mencatatkan kes sehingga 40 dianggap sebagai zon kuning.

Bagi kawasan melebih 40 pula dilabel sebagai zon merah Covid-19.

Dalam pada itu, daerah Putatan, Bera dan Kuala Terengganu kini sifar kes aktif Covid-19, justeru bertukar daripada zon kuning kepada zon hijau.

Kluang yang sebelum ini dalam kategori merah pula bertukar kepada kuning, selepas jumlah kes aktif menurun daripada 41 kepada 39.

Secara keseluruhan, bilangan zon merah di seluruh negara kekal sembilan, manakala zon kuning sebanyak 73, kurang tiga daripada hari sebelumnya.

Jumlah zon hijau pula 119, juga kurang tiga daripada hari sebelumnya.

Setakat tengah hari semalam, negara merekodkan 6,726 kes Covid-19 dengan 109 korban.

Sejumlah 5,113 pesakit pula telah pulih, menjadikan jumlah kes aktif kini sebanyak 1,504 kes.

Berita penuh :https://www.malaysiakini.com/news/525228