Serang Baitulmaqdis sebahagian rancangan Netanyahu raih populariti menjelang PRU

Serangan ke atas Baitulmaqdis adalah maneuver terakhir Benjamin Netanyahu untuk menyelamatkan kerjaya politiknya dalam masa sama mahu menjayakan ideologi konfrontasinya terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Netanyahu beraliran tengah kanan (nasionalis tengah) dikenali di dalam Israel sebagai seorang political survivor kerana kelicikannya. Dia mula dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun 1996, ketika berumur 47 tahun mencatat rekod sebagai Perdana Menteri termuda Israel. Pada pilihanraya berikutnya, Parti Likud pimpinannya kalah teruk kepada Parti One Israel pimpinan Ehud Barak dan mengambil keputusan untuk menumpukan kerjaya korporat. Ketika Ariel Sharon berjaya memenangi kerusi Perdana Menteri Netanyahu dipujuk untuk menyertai kembali politik dan dilantik sebagai Menteri Kewangan. Dia kemudiannya meletak jawatan kerana tidak bersetuju dengan Sharon yang mencadang membawa keluar tentera Israel dari Gaza selepas kempen Intifada ke-2 oleh Hamas. Sharon kemudiannya meninggalkan Parti Likud kerana desakan dari dalam parti yang sealiran dengan pemikiran Netanyahu dan menubuhkan Parti Kadima yang dakwanya lebih moderat dalam menangani perjuangan rakyat Palestin. Selepas perletakan jawatan Sharon, Netanyahu kembali memimpin Likud, tetapi partinya kalah dalam pilihanraya berikutnya kepada Parti Kadima. Kerana kelicikannnya, Netanyahu berjaya membentuk kerajaan dengan bergabung bersama parti-parti nasionalis kecil berhaluan kanan dan kanan jauh (ultra-nasionalis) dan berjaya memperoleh majoriti. Dia kemudiannya memenangi 2 penggal pilihanraya.

Pada pilihanraya 2019 popularitinya dan Parti Likud mula merudum kerana dakwaan rasuah dan salahguna kuasa yang diamalkan semasa pemerintahannya sehingga menyaksikan perpecahan sesama parti-parti berhaluan kanan. Tiada parti yang dapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan sekaligus menyaksikan 4 kali pilihanratya terpaksa diadakan semula dalam masa 2 tahun. Selepas pilihanraya ke-3, Netanyahu dinasihatkan untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Parti Blue and White yang beraliran liberal yang mendakwa multiracial, multireligious dan merentasi pelbagai ideologi politik. Mereka memenangi kerusi ke-2 terbanyak dalam Knesset (Parlimen Israel). Dibuat perjanjian supaya jawatan Perdana Menteri digilirkan antara Likud dan Blue and White setiap 18 bulan. Benny Gantz pemimpin Blue and White dicadangkan sebagai PM-in-waiting dan diberi jawatan Menteri Pertahanan. Namun kerajaan ini tidak bertahan lama kerana Blue and White mendakwa tiada komitmen yang jelas dari Netanyahu untuk peralihan kuasa. (macam pernah dengar kan?). Blue and White mendesak diadakan semula pilihanraya yang diadakan pada 2 Mac 2021 yang lalu tetapi masih tiada kerajaan yang dapat dibentuk. Parti Likud memperoleh 30 kerusi dan memerlukan 31 kerusi lagi untuk membentuk kerajaan. Manakala Blue and White memenangi 8 kerusi, sekutu rapatnya Parti Yesh Atid–Telem yang berhaluan sosialis memenangi 17 kerusi.
.
Presiden Israel, Reuven Rivlin memberi masa kepada Netanyahu sehingga 4 Mei baru-baru ini untuk mencari jalan untuk membentuk kerajaan namun tidak berhasil. Kemudiannya, Rivlin mengarahkan mandat ke-2 diberikan kepada blok ke-2 jika dapat memuktamadkan persepakatan mereka. Blok ke-2 ini dijangka dapat menyatukan kedua-dua horizon kanan dan kiri (nasionalis dan sosialis) dan berusaha mendapat sokongan parti Arab sekular dan Islamis. Pada 9 Mei, Parti Yesh Atid mengumumkan berjaya mendapat persetujuan parti Yamina (nasionalis, 7 kerusi) selepas dengan mudah menerima sokongan parti-parti kecil sosialis (13 kerusi). Parti Joint List (gabungan parti-parti Arab sosialis & sekular) yang memenangi 6 kerusi dan Ra’am (Islamis) yang memenangi 4 kerusi disebut-sebut sebagai calon seterusnya untuk membentuk kerajaan.

Melihatkan kedudukannya yang makin tergugat, Netanyahu kemudiannya mengeksploitasi sentimen anti-Arab golongan ultra-nasionalis ketika kehangatan proses pengadilan pertikaian tanah penduduk Arab di Sheikh Jarah, Jerusalem Timur. Parti Likud yang menguasai Kementerian Dalam Negeri menggunakan pasukan polis untuk memprovokasi umat Islam yang sedang menunaikan ibadah di Baitulmaqdis sehingga kemuncaknya menyebabkan berpuluh orang Palestin syahid dan ratusan lagi cedera, termasuk kanak-kanak dan wanita. Untuk melindungi rakyat Palestin dari serangan darat dan udara yang bertali arus, Hamas dan Jihad Islami melancarkan serangan roket ke arah Tel Aviv. Parti Likud terus memanfaatkan sentimen ultra-nasionalisme anti-Arab dari serangan balas Hamas sebagai bargaining chip untuk membawa semula Blue and White ke meja rundingan. Benny Gantz yang masih menjawat Kementerian Pertahanan menyertai kempen serangan ke atas Gaza melalui serangan udara yang didakwa mensasarkan markas operasi Hamas dan Jihad Islami. Manakala, kempen anti-Israel yang dipicu oleh isu rampasan tanah di Shaikh Jarrah menyebabkan parti-parti Arab dan Islamis dalam Israel menangguhkan hasrat bekerjasama dengan mana-mana blok politik Israel.

Walau apa pun yang berlaku, hakikatnya mana-mana gabungan politik Israel yang membentuk kerajaan tidak akan memberi jaminan kepada kebebasan mutlak rakyat Palestin. Beza antara kedua-dua pakatan politik hanyalah seperti bezanya Inggeris dan Belanda ketika menjajah Nusantara, atau blok Barat dan Timur ketika era Perang Dingin. Walaupun berbeza cara menangani penduduk Palestin, mereka tetap penjajah yang menganut teras fahaman Zionisme. Merekalah Yakjuj dan Makjuj moden yang saling bergelombang. Umpama gajah sama gajah saling berperang, pelanduk di tengah-tengah mati dipijak. Walaupun dilihat saling melawan antara satu sama lain, mereka tidak berniat memberi kembali tanah penduduk Palestin yang dirampas sejak 1948.

Sumber :