Sepatutnya PN diketuai oleh Tun M, dedah Marzuki

Sepatutnya PN diketuai oleh Tun M, dedah Marzuki

Tun Dr Mahathir Mohamad adalah individu yang sepatutnya mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana beliau sudah mempunyai sokongan ahli Parlimen yang mencukupi Februari tahun lalu.

Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Marzuki Mohamad, yang mendedahkan bagaimana kerajaan PN terbentuk di laman Facebooknya pada Khamis, berkata bagaimanapun tiada siapa tahu mengapa beliau tidak berbuat demikian.

Menurut Marzuki, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sepatutnya menghadap Yang di-Pertuan Agong dan mengambil peluang untuk menyembah maklum bahawa beliau mempunyai sokongan yang mencukupi.

“Lebih daripada 130 Akuan Bersumpah (SD) telah ditandatangani oleh ahli Parlimen untuk membuktikan sokongan mereka kepada Tun Mahathir.

“Sepatutnya, Tun Mahathir yang menghadap Agong dan memberitahu kepada baginda bahawa beliau mempunyai sokongan yang mencukupi untuk memimpin kerajaan baharu yang dipanggil sebagai Perikatan Nasional (PN).

“Beliau juga sepatutnya boleh meneruskan khidmat sebagai PM tanpa perlu menarik diri, tetapi… hanya atas alasan yang hanya diketahui olehnya, beliau tidak berbuat sedemikian.
“Mengapa beliau menarik diri daripada rancangan itu? Persoalan itu hanya beliau sahaja yang tahu.

“Lagipun, Tun Mahathir adalah political maestro numero uno. Tiada siapa yang dapat membaca fikirannya. Beliau mungkin melakukannya dengan alasan yang baik,” jelas Marzuki dalam refleksi sempena setahun PN terbentuk.

BACA: Marzuki dedah Tun M pernah setuju calonkan Muhyiddin sebagai PM

Mengimbas kembali peristiwa lewat petang pada 23 Februari tahun lalu, Marzuki berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Haji Openg, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Azmin Ali telah menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Tujuan menghadap adalah bagi menyembah maklum kepada baginda bahawa Dr Mahathir mendapat sokongan yang cukup daripada ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Barisan Nasional (BN), Pas, Gabungan Parti Sarawak ( GPS), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan kumpulan Azmin dalam PKR untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri.

Tambah Marzuki, sebelum meninggalkan istana pada petang itu, Azmin mencadangkan agar pemimpin parti yang telah menghadap Agong untuk berkumpul dengan 130 ahli Parlimen di Kuala Lumpur.

“Acara makan malam diatur dengan cepat di Hotel Sheraton, Petaling Jaya. Makan malam yang berlaku kemudian itu yang disifatkan sebagai “Langkah Sheraton”.

“Secara peribadi, saya rasa untuk mengaitkan kejadian di Hotel Sheraton pada malam 23 Februari 2020 dengan pembentukan kerajaan PN adalah suatu yang remeh.

“Acara itu, seperti yang saya katakan, kejadian itu adalah berlaku kemudian (bukan dirancang awal),” tambah Marzuki.

 

Sumber Facebook marzuki.mohamad.549

Marzuki turut meninggalkan persoalan, mungkinkah pembentukan kerajaan PN pada 1 Mac 2020 itu sebenarnya Gerakan Mahathir?

“Hanya mereka sahaja yang mengetahui hal itu. Ya, itulah sifat gerakan politik. Ia tidak boleh diketahui oleh banyak pihak.

“Kadang kala, mereka yang sudah lama menghadapi masa sukar bersama dalam gerakan itu pun baru tahu mereka hanyalah umpan dalam permainan.

“Politik kadang-kadang menyakitkan,” ujar beliau lagi.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-politik/tun-m-yang-sepatutnya-ketuai-pn-tiada-siapa-dapat-baca-fikirannya-marzuki-284785