Semua masjid di NS dibuka untuk solat Jumaat bermula 19 Jun

Kerajaan Negeri telah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, berkenaan aktiviti ibadah di masjid seluruh Negeri Sembilan Darul Khusus di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos 2020. Perkara ini selaras dengan pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia, Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Muzakarah (Khas) Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Darul Khusus.

Pelaksanaan Solat Jumaat pada 𝟭𝟮 𝗝𝘂𝗻 𝟮𝟬𝟮𝟬 bagi lapan buah masjid yang telah dibenarkan mengikut kapasiti ruang solat masjid akan diteruskan seperti sebelum ini. Manakala masjid lain kekal dengan jumlah terhad 12 orang.

Sukacita dimaklumkan, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah memperkenankan semua masjid di Negeri Sembilan Darul Khusus beroperasi berdasarkan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bagi Solat Jumaat bermula pada 𝟭𝟵 𝗝𝘂𝗻 𝟮𝟬𝟮𝟬.

Setiap jemaah diingatkan agar mengamalkan disiplin kendiri seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kebenaran operasi ibadah di masjid ini adalah berdasarkan kapasiti ruang solat masjid. Setiap individu yang ingin menyertai solat Jumaat perlu mendaftarkan diri secara atas talian melalui pautan 𝙝𝙩𝙩𝙥𝙨://𝙥𝙢𝙘.𝙟𝙝𝙚𝙖𝙞𝙣𝙨.𝙢𝙮 atau secara manual di pintu masuk masjid yang dibenarkan.

Kebenaran menunaikan Solat Jumaat tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD). Sekiranya masjid tersebut terletak di dalam kawasan yang mempunyai kluster aktif COVID-19, maka masjid tersebut tidak dibenarkan untuk melaksanakan solat jumaat berdasarkan kapisiti ruang solat masjid.

Diharapkan setiap aktiviti di masjid yang dibenarkan perlulah mematuhi garis panduan atau Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disediakan. Kebenaran ini adalah tertakluk kepada keadaan semasa berkaitan kawalan pengurusan pandemik COVID-19 di negeri ini.

𝘿𝙖𝙩𝙤’ 𝙎𝙚𝙧𝙞 𝙃𝙖𝙟𝙞 𝘼𝙢𝙞𝙣𝙪𝙙𝙙𝙞𝙣 𝙃𝙖𝙧𝙪𝙣
𝘔𝘦𝘯𝘵𝘦𝘳𝘪 𝘉𝘦𝘴𝘢𝘳 𝘕𝘦𝘨𝘦𝘳𝘪 𝘚𝘦𝘮𝘣𝘪𝘭𝘢𝘯 𝘋𝘢𝘳𝘶𝘭 𝘒𝘩𝘶𝘴𝘶𝘴
11 Jun 2020

Sumber :