‘Semalam isteri lari dengan ex-boyfriend, saya muflis pun sebab nak kayakan dia’

Oleh SHUHADA BUSTAMAN

Begitulah nasib malang yang menimpa seorang lelaki, yang ibaratnya sudah jatuh ditimpa tangga.

Selain diisytiharkan muflis selama bertahun-tahun akibat masalah kewangan, dia terpaksa berdepan dengan ‘kehilangan’ isteri yang tidak disangka-sangka.

“Saya muflis sudah dua tahun. Semalam isteri lari dengan bekas teman lelakinya.

“Saya muflis pun kerana ingin menyenangkannya. Dunia ini kejam,” luahnya menerusi hantaran di grup Facebook.

Tanpa merujuk kepada mana-mana pasangan, dia turut mengaitkan dirinya dengan masalah rumah tangga yang sering berlaku dalam kalangan pasangan lain.

'Semalam isteri lari dengan ex-boyfriend, saya muflis pun sebab nak kayakan dia'

Apa yang lebih menyedihkan, ada hubungan yang berakhir dengan kematian disebabkan kehilangan pertimbangan dan tiada kewarasan akal.

“Baru saya faham kenapa banyak kes bunuh dalam kalangan suami isteri. Alhamdulillah, iman masih kuat untuk anak-anak,” ujarnya lagi.

Di ruangan komen, rata-rata warga maya menyuarakan simpati terhadap nasib malang lelaki itu. Mereka juga bersyukur atas kesabarannya, tanpa menjadikan keganasan atau pertumpahan darah sebagai penyelesaian.

Sebagai peringatan, perbuatan keganasan dan membunuh adalah salah di sisi undang-undang dan dilarang dalam Islam, maka semua perlu menjauhinya.

Kisah sedihnya turut dipersoalkan oleh seorang warga maya yang bertanya kenapa tidak menceraikan isterinya sahaja ketika perasaannya mula berubah.

“Kalau awak nak ceraikan dia masa awal-awal dia tak nak dekat awak, dia larilah. Mungkin dia dah tak tahan dengan kehidupan yang bercatu, stres dikejar pengutip hutang, dan masalah rumah tangga lain yang membuatkan dia rasa tak berbaloi untuk kekal,” katanya.

Sedih dengan tohmahan yang dilemparkan, lelaki malang itu hanya mampu menganggapnya sebagai ujian berat yang perlu ditanggungnya.

“Cakap senang, awak tidak berada di tempat saya,” katanya ringkas.

Kebanyakan warga maya turut menitipkan pesanan dan memberi kata-kata semangat kepada lelaki tersebut supaya meneruskan hidup bersama anak-anak.

“Ini adalah mindset yang hanya bersama ketika senang, tetapi meninggalkan apabila susah. Takziah atas apa yang berlaku.

“InsyaAllah, awak akan bangkit suatu hari nanti. Jaga anak, itu sudah besar pahalanya. (Isteri) lari dengan teman lelaki belum tentu dia akan bahagia dan tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anaknya.”

BACA: ‘Masa ibu nak kahwin lain, ibu larikan kami adik beradik dari ayah sampai lost contact’