Semakin ramai rakyat Amerika tolak vaksin

Pengarah Ins­titut Alergi dan Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr. Anthony Fauci memberi amaran bahawa negara ber­kenaan ‘memilih haluan yang salah’ dalam usaha mengekang wabak Covid-19, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika bilangan kes Covid-19 terus meningkat di AS terutama dalam kalangan penduduk belum divaksin.

Menurut Fauci, masalah utama penularan wabak di AS pada masa ini adalah berpunca daripada 50 peratus penduduk dewasanya belum mendapatkan dos lengkap vaksin Covid-19.

amerika

Dua wanita berjalan melintasi sebuah pusat vaksinasi berhampiran Pantai Brighton di Brooklyn, New York pada 22 Julai lalu. 

“Jika kita lihat pada carta jangkitan harian, trend peningkatan kes positif adalah dalam kalangan mereka yang belum divaksinasi.

“Ini kerana separuh daripada populasi AS belum menerima dos lengkap vaksin Covid-19,” tegasnya.

Ketua penasihat perubatan Presiden Joe Biden itu yang juga pakar penyakit berjangkit terkemuka AS menambah, sebahagian besar kematian akibat jangkitan Covid-19 adalah melibatkan penduduk yang belum mendapat imunisasi.

“Justeru, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menerusi Dr. Rochelle Walensky dan saya sendiri sudah berulang kali menyatakan bahawa situasi pandemik semakin buruk di AS sekarang adalah berpunca daripada mereka yang belum divaksin sama ada satu atau dua dos

“Inilah sebab utama kerajaan menyeru mereka di luar sana yang belum divaksin untuk tampil dan dapatkan suntikan anda,” katanya.

Fauci menyatakan amaran itu ketika varian Delta mengganas di AS dengan angka kematian boleh mencecah sebanyak 4,000 sehari sekiranya trend sekarang berterusan.

Setiap negeri di AS melaporkan lebih banyak kes Covid-19 pada minggu yang berakhir Jumaat berbanding minggu sebelumnya, demikian menurut data Universiti Johns Hopkins.

Menurut statistik CDC, terdapat 30 negeri di AS yang masih belum memberikan vaksin penuh kepada sekurang-kurangnya separuh daripada penduduknya.

Berita Penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/07/27/rakyat-as-liat-vaksin/

BACA JUGA : Panas !!! Lebih 2,200 kompaun dikeluarkan lepas 21 Julai

Artikel ini disiarkan pada 28/07/2021

COMMENTS

Wordpress (0)