Selepas Muhyiddin teruk dikritik, Wan Saiful minta jaga hubungan dalam kerajaan

Selepas Muhyiddin teruk dikritik, Wan Saiful minta jaga hubungan dalam kerajaan

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), meminta semua pihak khususnya parti politik dalam Perikatan Nasional (PN), untuk menjaga hubungan dalam kerajaan yang dibina secara bersama hari ini.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang melontarkan kritikan kepada presiden parti Bersatu merangkap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ada antara kritikan yang diterima adalah agak keterlaluan. Kita harap kalau boleh supaya jagalah hubungan dalam kerajaan yang kita sama-sama bina dan tadbir hari ini,” katanya kepada pemberita pada Program Kayuhan Jalinan Kasih @ CSR TVET peringkat negeri Perlis di sini pada Ahad.

Wan Saiful berkata, Muhyiddin tegas memperingatkan semua bahawa tanggungjawab sekarang adalah menjaga kebajikan rakyat, menzahirkan keprihatinan kita kepada bebanan yang sedang menimpa rakyat ketika wabak COVID-19 dan keadaan ekonomi yang mencabar sekarang.

Beliau berkata, arahan daripada Muhyiddin agar semua yang berada dalam kerajaan faham, bahawa terdapat cabaran politik yang sedang berlaku dan pada masa yang sama tidak hilang fokus memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat.

Katanya kestabilan politik negara penting, agar negara dapat menarik pelabur asing datang ke negara ini dan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Beliau berkata, kenyataan seperti itu hanya akan menggugat kestabilan.

Berita Penuh :https://suara.tv/05/04/2021/jaga-hubungan-dalam-kerajaan-yang-dibina-hari-ini-wan-saiful/