Selangor buat beberapa kelonggaran baharu dalam PKPB Diubahsuai

Susulan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun 2020 yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Kerajaan Negeri telah bersidang pagi ini bersama-sama Datuk Bandar, Yang DiPertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pegawai-pegawai Daerah seluruh Selangor.

Berikut adalah beberapa ketetapan yang telah dipersetujui yang ingin ditonjolkan (highlight) untuk hebahan:

Pengoperasian restoran, medan selera, gerai berbumbung dan kiosk

Semua restoran, medan selera, gerai berbumbung dan kiosk kini dibenarkan untuk beroperasi sepenuhnya termasuk makan dan minum di dalam premis dari jam 7 pagi hingga 10 malam tertakluk kepada pematuhan penjarakan sosial. Namun, membuka meja di kawasan kaki lima dan parkir tidak dibenarkan.

Para peniaga restoran digalakkan untuk memberi pilihan pra-tempah (pre-order) kepada pelanggan bagi mengelakkan kesesakan di dalam kedai.

Penguatkuasa PBT akan turut membuat pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan SOP yang dikuatkuasakan berada di tahap optimum.

Kendera saji (food truck) dan penjaja tepi jalan (tiada premis)

Penjaja makanan dalam kategori tidak berpremis boleh mula beroperasi dari jam 8 pagi hingga 10 malam namun terhad kepada pandu lalu, bungkus dan penghantaran sahaja.

PBT akan meneliti keperluan penggiliran penjaja-penjaja beroperasi sekiranya kedudukan mereka berdekatan satu sama lain yang menyukarkan penjarakan sosial diamalkan melibatkan para pembeli.

Kegiatan pasar awam, pasar borong, pasar segar dan pasar swasta

Sebarang bentuk aktiviti penyembelihan dan pemprosesan haiwan seperti ayam di pasar awam, pasar borong, pasar segar dan pasar swasta adalah tidak dibenarkan, manakala aktiviti pasar yang lain dibenarkan beroperasi seperti biasa. Larangan operasi pasar pagi dan pasar malam adalah kekal buat masa ini.

Sukan & Rekreasi

Semua jenis taman kini dibenarkan untuk rakyat beriadah dari jam 7 pagi hingga 7 malam. Aktiviti pendakian dan perkhemahan masih tidak dibenarkan. Namun aktiviti memancing adalah dibenarkan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor akan mengeluarkan Pekeliling yang lebih terperinci bagi tujuan rujukan dan penguatkuasaan lanjut sebermula 13 Mei 2020 sehingga 9 Jun 2020 hadapan.

Sebarang bentuk aktiviti atau perkara lain yang tidak diperincikan adalah kekal tertakluk seperti yang digariskan dalam tatacara operasi piawai (SOP) yang disediakan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

YAB Dato’ Seri Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor

Sumber: