Selamatkan rakyat Kelantan dari kegagalan Pas, Putra sedia ambil alih Kelantan PRU -15

Selamatkan rakyat Kelantan dari kegagalan Pas, Putra sedia ambil alih Kelantan PRU -15

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Kelantan bersedia untuk mengambil alih pentadbiran negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Kegagalan kerajaan Pas Kelantan mengurus negeri itu walaupun sudah diberi peluang lebih 30 tahun memerintah, mendorong Putra untuk bangkit menyelamatkan rakyat yang hidup derita di bawah kepimpinan parti yang kononnya membangun bersama Islam.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Putra negeri, Asri Ali berkata, parti itu telah bersedia dari semua keadaan untuk berdepan dengan calon dari Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, Putra Kelantan mempunyai barisan kepimpinan yang disenangi rakyat negeri itu dengan majoriti mereka berlatar belakangkan ahli akademik dan ahli perniagaan, selain anak tempatan yang sentiasa mendampingi masyarakat.

Antaranya kata beliau, mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof. Dr. Ir. Mohamed Daud, yang merupakan anak tempatan Kampung Dalam Reka, Jalan Ladang Rakyat, Chegar Bedil, Jeli.

“Beliau banyak menghabiskan masa bersama masyarakat di Jeli, selain pakar dalam bidang pertanian dan pengundi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Balah.

“Ir. Mohamed juga diiktiraf sebagai Jurutera Profesional oleh Lembaga Jurutera Malaysia (BOE) dalam bidang Kejuruteraan Pertanian dan mempunyai syarikat Perundingan Kejuruteraan Pertanian.

“Jika Putra Berjaya mengambilalih Kelantan pada PRU15, rakyat akan mempunyai seorang anggota Exco yang prihatin dan cakna mengenai nasib petani, peladang dan pekebun,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Asri, antara tokoh wanita yang disegani kaum itu di Kelantan ialah Bibi Ramjani, iaitu seorang serikandi yang pernah mengetuai pasukan bola sepak Kelantan tahun lalu.

Katanya, Bibi Ramjani yang dilantik sebagai Ketua Putra Bahagian Ketereh kini giat menggalakkan kaum wanita terutama ibu tunggal dan beliawanis menceburkan diri dalam perniagaan.

“Sebagai seorang yang berjiwa besar, beliau mempunyai wawasan dan impian untuk melihat kaum wanita di Kelantan ada sumber pendapatan sendiri, sekali gus meringankan beban keluarga.

“Putra juga ada seorang ahli akademik, iaitu Pengarah Institut Darul Iman (IDAMAN) UniSZA, Prof. Dr. Ibrahim Mamat, anak tempatan Machang dan amat disegani rakyat di daerah ini. Ketokohannya dalam pengurusan dan pentadbiran amat cemerlang sekali.

“Selain itu, kita juga ada bekas Penyelidik Kanan (Geoteknik) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Jeli, Ahmad Che Ab. Salam, bekas Pensyarah UPSI, Dr. Zulkeflee Yaacob dan bekas Pengurus sebuah institusi kewangan, Che Zahari Che Ha yang juga Timbalan Ketua Putra Bahagian Ketereh,” katanya.

Menurut Asri, pendirian Putra adalah jelas, iaitu tidak memihak kepada mana-mana blok parti atau terikat dengan mana-mana kaum dan tampil sebagai kuasa ketiga untuk semak dan imbang kepada pentadbir.

Katanya, beliau kecewa dengan sikap tidak peduli rakyat oleh kerajaan Pas Kelantan apabila sanggup berbelanja besar untuk kos pembelian kereta mewah kepada anggota Exco dan kenaikan gaji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Sedangkan, kata beliau, rakyat di bawah terpaksa ikat perut untuk makan dan hidup, selain berdepan dengan masalah ketiadaan bekalan air bersih berpanjangan, kenaikan pelbagai cukai, meroboh rumah rakyat dengan membayar pampasan dalam jumlah amat kecil.

“Tambahan pula kini UMNO yang kononnya berjiwa rakyat sudah tidak berfungsi lagi kerana telah menjadi kawan rapat Pas. Segala permasalahan dihadapi rakyat tidak lagi dipedulikan. Rakyat hilang tempat mengadu dan bergantung.

“Namun, dengan adanya Putra, rakyat mula menjadikan parti ini sebagai tempat mengadu dan berlindung. Banyak masalah rakyat telah kita bela dan selesaikan. Rakyat mula menyenangi Putra dan kita bersedia membela mereka dengan mengambil alih Kelantan.

“Putra tidak retorik. Putra kota apa yang Putra janji. Saya bersyukur kerana rakyat mula menerima kehadiran parti ini dan barisan kepimpinan kita pula antara yang berjiwa rakyat,” katanya.

Berita penuh :https://malaysiagazette.com/2021/03/04/putra-sedia-ambil-alih-kelantan-pru15/?fbclid=IwAR0ZmSuowiAa9N3xv1-sXk9qCNGqXSBCGMoZJcNP5JaX9yih-PTn2sBuZok