Sektor kesihatan lumpuh, doktor terpaksa sembunyi. Rampasan kuasa oleh tentera meletakkan Myanmar dalam situasi terburuk dan sektor kesihatan lumpuh di saat pandemik Covid-19 terus mencatatkan peningkatan jumlah mangsa.
Doktor dan kakitangan kesihatan yang kebanyakannya menyertai protes antikudeta terpaksa bersembunyi untuk mengelakkan ditahan pihak berkuasa junta.
Di saat Myanmar berdepan wabak terburuk ketika ini, doktor dan sukarelawan menuduh tentera menggunakan pandemik sebagai senjatan terhadap orang awam.
Mereka mendakwa tentera menyekat jualan oksigen kepada orang awam dan enggan menerima pesakit di hospital kendalian tentera. Malah, wabak berkenaan juga mula memasuki penjara termasuk penjara utama, Insein yang menempatkan peserta protes antikudeta.
Di beberapa bandar utama, kelihatan orang ramai beratur panjang untuk mendapatkan bekalan oksigen selain kes kematian di rumah disebabkan takut untuk mengunjungi hospital yang kekurangan kakitangan dan peralatan.
Gambar di Yangon menunjukkan keluarga pesakit menunggu di kilang oksigen dengan harapan dapat mengisi semula bekalan.
CNN melaporkan krematorium juga dipenuhi keranda dan ahli keluarga mangsa selain pekerja pengebumian dan sukarelawan dalam sut hazmat bekerja tanpa henti.
Kira-kira 900 orang dilaporkan terbunuh dalam krisis politik sejak beberapa bulan lalu termasuk penunjuk perasaan dengan ribuan yang lain ditahan dan berdepan kekerasan oleh pihak berkuasa.
Penduduk yang ketakutan memilih untuk merawat diri sendiri di rumah berbanding mendapatkan rawatan di hospital.
Rabu lalu, sejumlah 6,093 kes baru Covid-19 dilaporkan dengan jumlah keseluruhannya berjumlah 246,663 manakala 247 kematian dicatatkan menjadikan keseluruhannya 5,814. Bagaimanapun doktor dan sukarelawan menyanggah jumlah itu dan mendakwa angka sebenar jauh lebih tinggi.
Sementara itu ahli keluarga yang terdesak mencari bekalan oksigen setiap hari meluahkan perasaan di Facebook. Kata-kata seperti ‘kecemasan’, ‘terdesak’ dan ‘tolong bantu saya’ diulang-ulang untuk menarik perhatian.
“Datuk saya kekurangan oksigen. Tolong bantu dia. Apakah ada tempat yang ada oksigen,” tanya seorang penguna Facebook.
Malah, terdapat individu yang menawarkan tangki oksigen ahli keluarga mereka yang sudah meninggal dunia
Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/07/734104/doktor-myanmar-perlu-bersembunyi