Segalanya berlaku pantas, lelaki kongsi pengalaman hilang 2 insan tersayang

berlaku

Segalanya berlaku pantas, lelaki kongsi pengalaman hilang 2 insan tersayang. “Tidak pernah terfikir perkara ini akan terjadi kepada keluarga saya apabila kehilangan orang tersayang akibat wabak Covid-19,” kata Muhammad Taufiq Saleh, 27.

Muhammad Taufiq dari Taman Jasmin Senawang, di sini, berkata selain isteri, Nur Shafirah Azlan, 29, dia juga kehilangan ibu mentua, Norhawati Ab Rahman, 52, akibat pandemik berkenaan.

Menurutnya, selama ini dia hanya membaca dan menonton pengalaman sedih orang lain namun tidak pernah terfikir perkara itu terjadi kepada ahli keluarganya sendiri.

“Ibu mentua saya terlebih dulu pergi meninggalkan kami pada 9 Julai lalu selepas tiga hari arwah dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban kerana jangkitan Covid-19.

“Manakala isteri saya pula meninggal dunia pada 28 Julai, iaitu selepas 19 hari pemergian ibu mentua di hospital yang sama.

“Ia berlaku terlalu cepat dan sampai sekarang saya dan ahli keluarga mentua masih trauma dengan kehilangan kedua-dua insan itu akibat Covid-19,” katanya ketika ditemui di rumah bapa mentuanya, Azlan Talib, 57, di taman berkenaan, di sini, hari ini.

berlaku

Mengimbas kembali pemergian ibu mentua dan isterinya itu, Muhammad Taufiq yang mempunyai anak tunggal, Nur Aisya Safiya, berusia empat tahun, berkata ibu mentuanya yang menghidap penyakit diabetes dan darah tinggi mengadu tidak sihat pada 5 Julai lalu.

Beliau yang bekerja sendiri berkata, sehari selepas itu, ibu mentuanya membuat ujian saringan dan didapati positif Covid-19 serta terus dibawa ke HTJ bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, ibu mentuanya tidak menunjukkan tahap fizikal dan kesihatan yang terlalu serius seperti sesetengah pesakit lain.

“Ibu mentua hanya ditempatkan di wad biasa tetapi pada pagi 9 Julai itu, kami dikejutkan dengan berita pemergiannya daripada pihak hospital hanya selepas tiga hari berada di situ,” katanya.

Beliau berkata, susulan daripada itu, dia dan isteri serta empat ahli keluarga lain termasuk bapa mentuanya segera membuat ujian saringan pada 12 Julai.

Menurutnya, hasil ujian berkenaan mendapati kesemua enam ahli keluarganya itu positif Covid-19 dan diarah menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari serta dipakaikan gelang kuarantin.

Katanya lagi, selepas beberapa hari, keadaan kesihatan isterinya yang ketika itu sedang mengandungkan anak kedua berusia lima bulan, merosot apabila mengalami simptom batuk dan mengadu sesak nafas.

“Dia kemudian dibawa ke HTJ pada 18 Julai lalu dan kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) apabila tahap kesihatannya dilaporkan terus merosot sebelum disahkan meninggal dunia pada 28 Julai.

“Bayangkan, rasa sedih dengan pemergian ibu mentua belum reda, kami terpaksa menerima hakikat kehilangan isteri tanpa dapat menatap wajah mereka buat kali terakhir.

“Kata-katanya (isteri) untuk pergi mengikut emak yang diucapkan beberapa kali selepas ibu mentua meninggal dunia, rupanya menjadi kenyataan. Saya tidak dapat menahan sebak bila teringatkan ungkapannya itu,” katanya.

Ditanya mengenai punca jangkitan Covid-19 boleh berlaku dalam kalangan keluarganya, Muhammad Taufiq berkata, beliau sendiri kurang pasti.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/08/740451/hilang-dua-insan-tersayang-akibat-covid-19

BACA: Panas !!! MB Terengganu didakwa banyak habis masa di KL

COMMENTS

Wordpress (0)