Sebar Berita Palsu Pasal TH, Pemilik FB Didakwa Di Mahkamah

Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen kerana didakwa membuat tuduhan kononnya Menteri Kewangan Lim Guan Eng mempunyai hubungan dengan Tabung Haji (TH).

Nor Zigan Mohd Tori, dari Tanjung Karang, dituduh menyiarkan mesej itu pada 18 Feb di Facebook, dengan niat mengancam orang lain.

Dalam postingnya itu, beliau telah mengaitkan Lim dengan penjualan aset TH.

Zigan didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia.

Jika didapati bersalah, dia berdepan denda maksimum RM50,000 atau hukuman penjara setahun.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Syahieza Md Hadzaid menggesa mahkamah mengenakan ikat jamin RM20,000 ke atas Zigan tetapi peguamnya, Sharil Azwan Nizan, merayu kepada mahkamah untuk mengenakan jumlah minimum sebagai jaminan.

Hakim Edwin Paramjothy Michael Muniandy membenarkan jaminan RM6,000 dengan satu penjamin.

Mahkamah menetapkan 30 Mac untuk sebutan semula.