“Saya nampak 2 penunggang motosikal hanyut dibawa kepala air”

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan saya nampak sendiri kepala air sebelum menghanyutkan dua penunggang motosikal di belakang ” kata saksi kejadian, Norhazle Othman, 36.

Menurutnya, kejadian kira-kira 4.30 petang ketika dia dalam perjalanan pulang dari kerja di Muzium Perhutanan Gunung Jerai, dan dalam keadaan hujan renyai.

Ketika itu, dia bersama seorang pekerja warga Bangladesh, Aminullah Budi Alam, 21, menunggang motosikal berasingan untuk menuruni kawasan gunung itu, pulang ke rumah.

“Waktu itu kami berada di belakang sebuah Proton Persona dan ternampak pokok tumbang di bahagian depan.

“Kami pergi ke bahagian depan kereta itu untuk parkir motosikal dan cuba nak bantu pemandu kereta itu secara tiba-tiba terdengar bunyi meletup dengan kuat dari belakang sebelum ternampak kepala air ,” katanya ketika ditemui di Pos 2, Gunung Jerai, malam tadi.

Menurut Norhazle, dia hanya mampu menyaksikan dua penunggang motosikal itu dibawa arus deras kerana kepala air itu betul-betul di tempat mereka berada dan tidak mampu membantu kerana ketika itu, hanya mampu menyelamatkan diri sendiri.

Katanya, bunyi arus deras itu sangat kuat kerana kepala air itu turut membawa batu dan pokok.

“Bunyinya sangat kuat, malah ketika kejadian, sebuah kereta milik TM yang berada di belakang dua motosikal itu terselamat, walaupun hampir terjunam ke dalam gaung.

“Perasaan takut hanya Allah saja yang tahu kerana tak pernah saya tengok kepala air sebegitu kuat,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, hujan lebat melanda kawasan itu dan berhenti selepas sejam kemudian, menyebabkan dia mengambil keputusan untuk pulang ketika hujan renyai.

Katanya, motosikalnya juga turut dihanyutkan air sejauh empat meter, namun tersangkut di bahagian tepi jalan.

“Saya dan Aminullah hanya menunggu di pos 2 sehingga mendapat bantuan pasukan penyelamat, jam 9.30 malam tadi,” katanya.

Aminullah pula berkata, segala dokumen pengenalan diri termasuk kad pelarian UNCHR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian) yang diletakkan dalam raga motosikal juga dihanyutkan air.

Katanya, dia yang sudah lima tahun bekerja sebagai pekerja pembersihan di Gunung Jerai bersyukur terselamat dalam kejadian itu.

Mereka kemudian dibawa turun oleh pasukan bomba dan dibantu oleh malim Gunung Jerai.

Katanya, itu kali pertama dia nampak kepala air yang dahsyat dan menyaksikan dua mangsa dihanyutkan air deras di depan mata.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, setakat ini terdapat 20 pekerja Jerai Hill Resort masih berada di puncak Gunung Jerai kerana terkandas akibat kejadian itu.

Berita penuh : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/08/744189/saksi-nampak-dua-penunggang-motosikal-hanyut-depan-mata-metrotv

Baca Juga :Usaha Amanah pertahan PH Plus buahkan hasil memberangsangkan