Persoalan mengenai kesahihan batu bersurat yang ditemui di puncak Gunung Ledang, Johor,
akhirnya terjawab apabila ia disahkan hanya sebagai batu berukir biasa.
Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Taufik Bahar, menjelaskan bahawa batu tersebut tidak tergolong
Dalam kategori batu bersurat yang biasanya mengandungi teks formal atau dokumen penting.
“Berdasarkan semakan kami bersama Arkib Negara Malaysia Johor, batu ini tidak memenuhi kriteria sebagai batu bersurat sejarah,” katanya.
Sekadar Ukiran Pendaki Gunung
Taufik menjelaskan bahawa ukiran yang terdapat pada batu tersebut lebih menyerupai contengan biasa, seperti nama, tarikh, atau mesej peribadi yang dibuat oleh pendaki Gunung Ledang.
“Batu ini lebih kepada catatan kenangan orang ramai dan bukannya artifak sejarah yang signifikan.
Namun, kami mengalu-alukan mana-mana pakar sejarah yang berminat untuk menjalankan kajian lebih mendalam terhadap batu ini,” tambahnya.
Dikaitkan dengan Legenda Tempatan
Sebelum ini, batu tersebut mencetuskan spekulasi dan perbincangan hangat, termasuk dakwaan bahawa ia mungkin mempunyai kaitan dengan tulisan Jawi lama atau aksara kuno Kawi.
Ada juga pihak yang mengaitkannya dengan mitos Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah, dan raja Jawa dari kerajaan Demak.
Beberapa individu turut menggunakan media sosial untuk berkongsi video yang mendakwa batu itu adalah artifak purba. Namun, Perbadanan Taman Negara Johor menegaskan bahawa tiada bukti kukuh untuk menyokong dakwaan tersebut.
Walaupun batu ini tidak diiktiraf sebagai batu bersurat sejarah, ia tetap menarik minat orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut tentang sejarah dan legenda Gunung Ledang.
BACA: Bekas peguam negara dedah Tun M punca Malaysia hilang Pulau Batu Puteh