Sarawak tak akan laksana PKPB pada 4 Mei 2020

Sarawak memutuskan tidak akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) serta membuka semula sektor dan aktiviti ekonomi tertentu Isnin ini seperti yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC), Douglas Uggah Embas berkata, keputusan di bawah 3 fasa terakhir MCO akan dikekalkan sehingga kajian kerajaan negeri mengenai implikasi pembukaan semula kegiatan ekonomi selesai.

“Dengan mengambil kira keadaan di Sarawak dari segi kes Covid-19, kemampuan logistik, kemampuan Jabatan Kesihatan dan keadaan geografi, SDMC mendapati kebanyakan standard pematuhan pembukaan semula kegiatan ekonomi tidak kondusif di negeri ini,” katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Uggah yang juga timbalan ketua menteri Sarawak berkata, SDMC perlu memastikan pembukaan semula sektor dan kegiatan ekonomi sesuai dengan keadaan negeri dan pembukaan semula kegiatan ekonomi akan diumumkan secara berperingkat setelah setiap perincian prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan diteliti.

“Selain itu, pihak yang mendapat kelulusan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) semasa PKP 4, perlu mendapatkan kelulusan kerajaan negeri melalui SDMC untuk diteliti permohonan mereka sebelum dibenarkan beroperasi,” katanya.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/05/02/sarawak-tidak-benar-operasi-perniagaan-laksana-pkpb-pada-4-mei/