Sanggup jual tanah demi ikan koi bernilai RM 300,000 seekor

Sanggup jual tanah demi ikan koi bernilai RM 300,000 seekor. Kerana terlalu kemaruk memiliki ikan koi bermutu tinggi dari Jepun, seorang penternak ikan koi (Japanese Koi) sanggup menghabiskan wang hasil jualan tanah untuk membeli ikan koi yang berharga RM300,000 (S$9,700) seekor, lapor Harian Metro.

Ikan koi jenis Sakai Kohaku yang dibeli di Sakai, Jepun itu antara ikan koi terbaik dan kerap memenangi pelbagai pertandingan ikan koi di peringkat antarabangsa.

Mohd Zulkifli Husin, 46 tahun, atau lebih dikenali dengan panggilan “Usop Cerek” dari Kampung Gong Pauh mengakui dia peminat tegar ikan koi dan bergiat aktif dalam bidang penternakan ikan koi itu sejak tahun 2015.

“Saya menjual tanah semata-mata untuk membeli ikan koi Sakai Kohaku yang berkualiti tinggi itu.

“Sekarang ikan koi itu masih berada di Ladang Ikan Koi Sakai, Jepun dan kerap ditawar untuk dibeli peminat ikan koi lain dan baru-baru ini ditawar dengan harga RM450,000 (S$145,800).

“Tetapi, saya tidak bersedia untuk menjualnya lagi kerana menunggu harga pasaran ikan koi itu mencecah RM600,000 (S$194,400) seekor,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

tanah

Tambahnya, dia sengaja tidak membawa pulang ikan koi itu ke Malaysia kerana ingin menyertai pelbagai pertandingan ikan koi yang dianjurkan di Jepun.

“Jika saya membawa pulang ikan koi itu ke Malaysia, harga dan nilai eksklusifnya akan menurun selain sukar untuk memperoleh pembeli yang berani membeli ikan itu mengikut harga pasaranya.

“Buat masa sekarang, biar ikan koi berkenaan dibela di Jepun dan peluang untuk menjualnya semula adalah sangat tinggi kerana peminat ikan koi di seluruh dunia tertumpu di sana,” katanya lagi.

Di samping itu, menurut Usop Cerek, dia memiliki kira-kira 40 ekor ikan koi pelbagai jenis di kolam rumahnya termasuk, Omosako Shiro Utsuri, Doitsu Showa, Benikiko, Sanke Sakai, Dainichi Showa dan Momotaro Kohaku yang bernilai lebih dari RM500,000 (S$162,000).

“Harga ikan koi yang diternak di kolam ikan koi di rumah saya sekarang berharga RM20,000 (S$6,500) hingga RM60,000 (S$19,400) seekor dengan kos makanan dan vitamin berharga RM2,000 (S$650) sebulan,” ujar beliau.

BACA JUGA :

Kisah luar biasa kucing ini yang selalu bantu pelancong tersesat di kawasan pergunungan
Datuk Seri ditahan Polis kerana pelaburan Forex
Saham dibeli adik guna akaun Azam Baki, kata Panel SPRM

Artikel ini disiarkan pada 06/01/2022

COMMENTS

Wordpress (0)