Salahuddin tegaskan Amanah tetap bertanding di kerusi yang “dibawa lari” bekas wakil rakyatnya

Salahuddin tegaskan Amanah tetap bertanding di kerusi yang “dibawa lari” bekas wakil rakyatnya

Amanah akan tetap meletakkan calon di kerusi “dibawa lari” bekas wakil rakyatnya termasuk yang menyertai PKR.

Timbalan presidennya, Salahuddin Ayub berkata, perkara itu sudah dipersetujui Pakatan Harapan (PH) yang mana kerusi dimenangi parti dalam gabungan itu akan kekal ditandingi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Itu (kerusi wakil rakyat yang lompat) tetap menjadi milik Amanah termasuk di Selangor, Perak.

“Demikian juga PKR, ada wakil rakyat mereka yang melompat sebelum ini iaitu kumpulan Mohamed Azmin Ali dan terbaru, dua Ahli Parlimen Tebrau dan Julau, tetap mereka (PKR) akan bertanding kerana kerusi asal milik mereka,” kata beliau kepada FMT.

Setakat ini, enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Amanah menyertai parti lain iaitu tiga di Johor, Khairuddin A Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota) yang menyertai PKR.

Dua di Selangor, Ahmad Mustain Othman (Sabak), Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru) juga menyertai PKR dan seorang di Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim (Titi Serong) yang menyertai PPBM.

Mengulas lanjut, Salahuddin turut menolak dakwaan berlaku perpecahan dalam parti itu selepas beberapa ADUN mereka menyertai PKR.

“Tiada perpecahan kita sudah buat penelitian tidak berlaku perpecahan dan kita akan terus beri penjelasan kepada akar umbi.

“Kita telah beri penerangan khususnya di Johor apa yang berlaku, malah kadang-kadang wakil rakyat (lompat) itu bercakap sendiri mereka nak bertanding di kerusi Parlimen, macam di Johor (ADUN Senggarang) beri bayangan nak bertanding di Parlimen Batu Pahat, jadi dia sudah sebut sendiri kenapa dia tinggalkan Amanah,” kata beliau.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin mengingatkan PKR supaya tidak hipokrit dan “lidah bercabang” dengan menerima wakil rakyat yang melompat daripada Amanah.

Kata beliau, presiden PKR Anwar Ibrahim perlu melaksanakan tekad untuk menolak budaya lompat parti sesama komponen (dalam PH) yang jelas menguntungkan satu pihak sahaja.

“Politik tikam belakang ini usah dibudayakan. Sebagai rakan gabungan dalam PH, menerima penyertaan wakil rakyat ini hanya akan menyebabkan hubungan antara parti renggang dan keruh pada kemudian hari,” kata beliau.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/02/amanah-tetap-tanding-kerusi-dibawa-lari-bekas-wakil-rakyat-kata-salahuddin/