Saintis kenalpasti punca kenaikan mendadak kes Covid-19 di India

SEKUMPULAN penasihat saintis yang ditubuhkan oleh kerajaan India mendakwa telah memberi amaran sejak awal Mac berhubung kewujudan varian baharu COVID-19 di negara itu.

Lima saintis yang merupakan sebahagian daripada panel tersebut memberitahu Reuters bahawa kerajaan pusat bagaimanapun tidak mengambil langkah awal bagi menghentikan penularan virus meskipun telah diberi amaran.

Panel tersebut yang dinamakan Indian SARS-CoV-2 Genetics Consortium (INSACOG) ditubuhkan kerajaan pada hujung Disember lalu bagi mengesan varian-varian COVID-19 baharu yang boleh mengancam kesihatan awam.

Penyelidik INSACOG pertama kali mengesan varian B.1.617 seawal Februari lalu.

Kemudian, pasukan penyelidik itu berkongsi hasil kajian mereka bersama Pusat Kawalan Penyakit Kebangsaan (NCDC) dan memberi amaran bahawa jangkitan boleh berlipat ganda di beberapa negeri akibat varian tersebut.

Mereka turut menyediakan kenyataan media bagi Kementerian Kesihatan India berhubung “kebimbangan tinggi” mengenai varian baharu COVID-19 itu, namun ia hanya diumumkan oleh pihak kementerian dua minggu kemudian, tanpa menekankan kebimbangan kerajaan.

“Dasar harus berasaskan kepada bukti dan bukan sebaliknya.

“Saya risau bahawa sains tidak diambil kira dalam merangka dasar. Namun, saya tahu dimana sempadan bidang kuasa saya. Sebagai saintis, kami hanya memberi bukti. Membuat dasar merupakan tugas kerajaan,” ,” tegas Shahid Jameel, salah seorang penasihat saintis kepada INSACOG.

Menurut pakar-pakar kesihatan awam, antara faktor yang menyebabkan lonjakan kes di negara itu termasuk perhimpunan beramai-ramai untuk majlis politik atau agama.

Tanpa mengamalkan penjarakan fizikal atau memakai pelitup muka, jutaan orang menghadiri perhimpunan politik yang dianjurkan Perdana Menteri Narendra Modi, pemimpin parti Bharatiya Janata yang mentadbir kerajaan, serta ahli politik pembangkang.

Kerajaan turut membenarkan festival keagamaan Kumbh Mela berlangsung selama berminggu-minggu sejak pertengahan Mac lalu.

Manakala berpuluh ribu petani melancarkan protes sejak beberapa bulan lalu bagi membantah undang-undang pertanian baharu bawah pentadbiran Modi.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-dunia/saintis-dakwa-kerajaan-india-abai-amaran-awal-varian-baharu-covid19-295935

COMMENTS

Wordpress (0)