Rupanya senang je buat sendiri mi kuning tanpa mesin, tiada pengawet

Oleh ZULAIKHA ABBAS

Sebut sahaja mi kuning, pasti pembaca sudah boleh bayangkan pelbagai hidangan enak yang boleh dimasak menggunakan bahan tersebut.

Lazat disantap panas-panas terutamanya pada musim hujan, mi kuning ini adalah antara makanan yang mudah untuk dibuat sendiri di rumah.

Tidak perlu menggunakan mesin, pembaca cuma perlu menyediakan lima bahan iaitu tepung gandum, garam, telur ayam, air dan juga serbuk kunyit.

Rupanya senang je buat sendiri mi kuning tanpa mesin, tiada pengawet

Langsung tidak rumit, berikut kami kongsikan resipi mi kuning buatan sendiri daripada pengguna Facebook, Fahrini Marsyaley.

Ini adalah bahan-bahan yang perlu disediakan untuk hidangan bagi dua ke empat orang:

250gm tepung gandum

secubit garam

1 biji telur ayam

50ml air (boleh lebihkan sedikit sukatan sekiranya sukar diuli)

1 sudu teh serbuk kunyit

Berikut adalah langkah-langkah yang perlu pembaca ikuti:

1. Gaul – gaulkan semua bahan yang dinyatakan di atas sehingga menjadi doh dan tidak melekat di tangan.

2. Bahagikan doh kepada beberapa bahagian kecil – potongkan doh yang telah diuli kepada 4-5 bahagian.

3. Canaikan – canaikan satu-satu doh yang telah dibahagikan sehingga nipis. Setelah nipis, potong halus-halus menggunakan pisau.

Tidak perlu mesin, hanya potong menggunakan pisau
4. Rebus – masukkan mi kuning ke dalam air rebusan yang telah mendidih. Rebus dalam jangka masa seminit hingga dua minit sahaja.

“Takut terlalu lembik, mi tidak boleh direbus terlalu lama. Terus angkat dan toskan di bawah aliran air paip supaya tidak terlebih masak,” katanya.

Mi yang sudah siap untuk digoreng

5. Goreng seperti biasa – mi kuning sudah boleh digoreng seperti biasa mengikut selera anda. Boleh letak bawang, ayam, telur dan juga sawi.

Baca juga:Terpaksa masuk campur perkahwinan Marissa dan Aslam di Thailand, ini respon padu UAI