Rupanya selama ini saringan Covid-19 di negara kita kurang

saringan

Rupanya selama ini saringan Covid-19 di negara kita kurang. Negara kini sedang menerima akibat susulan kurangnya ujian saringan Covid-19, sekali gus menggambarkan “situasi sebenar” pandemik yang melanda, kata badan pemikir.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib memberitahu FMT bahawa itulah sebabnya mengapa kadar jangkitan yang terus meningkat bukan lagi suatu kejutan walaupun di tengah-tengah pelaksanaan ‘total lockdown’.

Katanya, malah kadar kebolehjangkitan atau R0/RT meningkat daripada 1.07 pada 1 Jun lalu kepada 1.15 sejak semalam.

“Kita mula melihat kedudukan sebenar epidemik ini. Malaysia meletakkan tangggapan situasi berdasarkan jumlah kes dilapor dan ini menyebabkan gambaran tidak tepat dibuat berkenaan apakah yang sebenarnya berlaku di lapangan.

saringan

“Sudah jelas bahawa ada jangkitan kes tidak dilaporkan. Kini, dengan ujian saringan semakin dipergiat, kita tahu bahawa majoriti jangkitan berpunca daripada kes sporadik dan tidak berkaitan dengan kluster,” katanya.

Azrul berkata, strategi ‘lockdown’ untuk melandaikan keluk kes jangkitan tidak memberi kesan besar berikutan virus sudah berada dalam komuniti.

Katanya, fokus ketika ini adalah mempercepat kadar vaksinasi dan data diperoleh daripada banyak tempat di dunia menunjukkan individu yang tidak mendapat suntikan vaksin adalah mereka yang terkesan teruk dengan jangkitan atau meninggal dunia.

“Seperti didedahkan menteri kesihatan, tiada simptom jangkitan direkod membabitkan 2,341 petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19, walaupun mereka sudah divaksin. Ini menunjukkan betapa pentingnya vaksinasi,” katanya.

Dalam pada itu, bekas timbalan menteri kesihatan, Lee Boon Chye berkata, menteri kesihatan perlu menjelaskan mengapa kadar kebolehjangkitan semakin meningkat ketika ‘lockdown’ masih berkuat kuasa.

“Kemungkinan pertama adalah membabitkan varian Delta atau mungkin sesuatu yang lain? Sebagai contoh adakah rakyat sudah tidak patuh kepada prosedur operasi standard (SOP)? Mungkin berlaku kelompongan dalam penguatkuasaan SOP?” katanya.

Lee berkata, kerajaan perlu berkongsi semua data yang diperoleh dengan umum termasuk lokasi “hotspot” Covid-19 dan bagaimana jangkitan merebak di tempat kerja.

Katanya, kerajaan juga mesti menilai semula SOP dan peraturan supaya kehidupan dan kesihatan dapat diseimbangkan.

“Sekiranya kerajaan mahu menghentikan virus daripada terus merebak, rakyat perlu berada dalam rumah selama enam minggu dan diberikan sokongan yang diperlukan meskipun kita tahu ini tidak boleh dilaksanakan.

“Jadi kita tidak mempunyai banyak pilihan selain meminimumkan risiko dan memberi vaksin kepada rakyat seramai mungkin,” katanya.

Kata Lee, program vaksinasi sudah menunjukkan peningkatan ketara dan lebih cepat seperti yang dijadualkan.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/12/gambaran-sebenar-krisis-covid-19-kini-makin-jelas-kata-badan-pemikir/

jika Terlapeas:Hilang sumber pendapatan, lelaki ditemui mati tergantung