Apabila merujuk kepada MyKad masing-masing, terdapat petunjuk yang menandakan asal negeri masing-masing iaitu nombor yang terletak di bahagian tengah kad pengenalan.
Jika anda berasal dari Kuala Lumpur, kod tempat kelahiran adalah 14, 54, 55, 56 dan 57.
Manakala jika anda berasal dari Pulau Pinang, kodnya pula 07, 34 dan 35.
Walau bagaimanapun, tahukah anda bahawa orang yang berasal dari Sabah dan Sarawak memiliki kad pengenalan yang sedikit berbeza berbanding dengan orang Semenanjung? Ini kerana mereka mempunyai satu huruf khas di hujung kad.
Tweet daripada pengguna Twitter @/yarafee_ baru-baru ini telah menarik perhatian ramai apabila beliau berkongsi bahawa terdapat huruf kecil ‘K’ di bahagian kanan IC orang Sarawak dan huruf ‘H’ untuk IC orang Sabah.
Huruf-huruf ini adalah hak keistimewaan yang menunjukkan pemegang kad pengenalan tersebut adalah anak jati Sabah dan Sarawak. Status kerakyatan sebenar bagi kedua-dua negeri ini tidak hanya ditentukan oleh kod negeri (kod di bahagian tengah nombor kad pengenalan), tetapi juga kehadiran huruf tersebut pada MyKad, yang diibaratkan sebagai pasport untuk mendapatkan keistimewaan terutamanya dalam urusan imigresen.
Menurut sumber, huruf K dan H itu juga diambil daripada huruf terakhir nama kedua-dua negeri tersebut:
Sabah = H
Sarawak = K
Huruf-huruf ini sebenarnya juga menandakan bahawa Sarawak dan Sabah masing-masing merupakan wilayah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) point 18/20.
Tweet tersebut turut menjelaskan bahawa tidak semua individu yang dilahirkan di Sarawak layak untuk mendapatkan kad pengenalan dengan tanda ‘K’ tersebut. Menurut ILoveBorneo, untuk memperoleh tanda ‘K’, ibu bapa pemilik MyKad atau sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibu bapa mesti merupakan anak jati Sarawak.
Jadi, adakah ada yang berminat untuk berkahwin dengan orang Sabah dan Sarawak? Kerana nanti, anak anda akan mempunyai huruf ‘H’ dan ‘K’ pada kad pengenalan mereka.