Rupanya dia seorang menteri

Akhir-akhir ini, tular di media sosial satu akaun Facebook rasmi seorang lelaki yang memiliki berbelas ribu gambar seorang lelaki berkod kemas dan berkaca mata. Gayanya, cara senyumannya, apa yang dibuat, semuanya ‘memenangi’ hati netizen.

Siapa sangka, rupa-rupanya pemilik akaun Facebook trending yang bernama Obaidul Quader itu sebenarnya seorang menteri? Boleh dikatakan inilah mungkin satu-satunya menteri kerajaan paling terkenal di dunia hari ini.

Fakta menarik tentang Obaidul Quader

Rupanya dia seorang menteri

Obaidul Quader merupakan Menteri Pengangkutan Jalan dan Jambatan Bangladesh. Mengimbas sejarah, beliau dilahirkan dalam keluarga Muslim pada 1 Januari 1950 di Kampung Bara Rajapur, wilayah Noakhali.

Beliau mendapat pendidikan awal di matrikulasi tahap pertama di Sekolah Tinggi Kerajaan Basurhat A.H.C. diikuti Kolej Kerajaan Noakhali sebelum menamatkan pengajiannya di peringkat sarjana muda dalam sains politik di Universiti Dhaka.

Difahamkan, Quader sudah mula terlibat dalam arena politik semenjak di zaman kolej lagi. Berbekalkan pengalaman tersebut, beliau terpilih dilantik sebagai Ahli Parlimen Noakhali selepas memenangi pilihan raya pada Jun 1996.

Untuk rekod, Quader pernah berkhidmat sebagai Menteri Anak Muda, Sukan dan Kebudayaan Negeri dari Jun 1996 hingga Julai 2001 sebelum dilantik menjadi Setiausaha Kanan Parti Liga Awami Bangladesh yang pertama sejak Disember 2002 hingga Julai 2009.

Bagaimanapun pada 9 Mac 2007, beliau pernah ditahan dan dipenjarakan selama lebih kurang setahun enam bulan atas kes tertentu sebelum dibebaskan kembali pada 5 September 2008.

Bermula Disember 2011, Quader bertugas sebagai Menteri Komunikasi. Sekali lagi beliau terpilih sebagai Ahli Parlimen Noakhali buat kali yang ketiga. Kini, beliau bertugas untuk Bangladesh sebagai Menteri Pengangkutan Jalan dan Jambatan.

Diikuti jutaan ‘followers’

Akaun Facebook Quader menjadi tular sejak tahun lepas apabila ribuan gambarnya ketika sedang bertugas menjadi tatapan umum. Di Facebook miliknya sendiri, terdapat berpuluh-puluh album yang tersimpan pelbagai jenis gambar.

Boleh dikatakan setiap kali ada urusan tertentu yang rasmi melibatkan tugasannya, pasti akan ada gambar yang dimuat naik ke Facebook. Setiap gerak-gerinya dirakam, daripada urusan rasmi sehinggalah gaya santai berdiri di depan pokok bunga.

Selain itu, akaun Facebook miliknya juga menjadi perhatian jutaan warganet di seluruh dunia. Rekod terkini mencatatkan, angka pengikutnya di Facebook telah mencapai sehingga hampir 1.7 juta orang setakat ini.

Dalam pada itu, Quader boleh dikatakan seorang menteri yang sangat berfalsafah orangnya. Pada ruangan ‘bio’ di Facebooknya, beliau menulis sepotong kata-kata prinsip ringkas tapi padat yang berbunyi, “Humanity is my book, life is my school”.

Bergambar dengan penuh bergaya, komited, yakin dan berkarisma, mungkin inilah faktor mengapa gambar-gambarnya menjadi kebanggaan ramai. Boleh jadi, Quader layak dianggap sebagai menteri kerajaan paling terkenal dan disukai ramai di dunia.

Untuk melihat koleksi gambar-gambar Quader yang berbelas ribu jumlahnya, bolehlah berkunjung ke laman Facebook beliau Obaidul Quader. Anda pasti tersenyum bangga melihat aksi menteri ini yang begitu ‘sporting’ dan berkaliber orangnya.

Berita Penuh : https://siakapkeli.my/2021/09/21/lebih-13k-foto-di-fb-siapa-sebenarnya-obaidul-quader-lelaki-famous-bertaraf-menteri-ini/

BACA JUGA : Malaysia akan hasilkan vaksin Covid-19 sendiri tiga tahun lagi – Adham Baba

COMMENTS

Wordpress (0)