Rosyam Nor beraksi dalam filem Hong Kong pula

Rosyam Nor beraksi dalam filem Hong Kong pula. Pelakon terkenal Malaysia, Rosyam Nor bakal menempa nama di Hong Kong apabila beraksi dalam filem ‘G Storm’ arahan David Lam.

Jika lima tahun lalu, Rosyam beraksi di sisi aktor bintang legenda Bollywood, Rajnikanth menerusi filem Kaabli, kini peluang lebih besar hadir lagi.

Menurut Rosyam, beliau percaya filem ‘G Storm’ mampu mengharumkan namanya dalam kalangan para penonton berbangsa Tionghua.

Menurutnya, beliau pernah menerima sambutan yang sama apabila muncul dalam filem Kaabali dan mula terkenal dalam kalangan peminat filem di India.

“Selepas filem Kabali, nama saya mula dikenali di kalangan peminat berketurunan India sehingga ditawarkan sekali lagi membintangi filem Bollywood bergenre seram, House Next Door.

“Bagaimanapun, tawaran terpaksa dilepaskan kerana jadual penggambaran bertembung dengan filem KL Special Force.

“Ketika promosi G Storm bergerak, saya menjadi satu-satunya aktor Malaysia dalam produksi mega ini dan banyak mendapat liputan dalam akhbar mahupun platform digital termasuk berbahasa Cina dan Inggeris.

“Ramai penonton Tionghua mengenali saya menerusi poster bersama Louis Koo. Ketika mahu membeli mesin jet air bagi menyempurnakan misi pembersihan rumah mangsa banjir, pengarah urusan syarikat itu terus menaja 19 set peralatan secara percuma.

“Saya bersyukur filem G Storm ini berjaya mengukuhkan jenama Rosyam Nor dalam kalangan masyarakat Tionghua,” katanya kepada BH Online.

Selain Rosyam dan Louis Koo, filem G Storm turut dibintangi bintang handalan, Julian Cheung, Kevin Cheng, Jessica Hsuan dan Bosco Wong.

Membawa watak ketua sindiket perdagangan manusia bernama King, Rosyam mengimbas semula detik dilmar oleh syarikat produksi Hong Kong itu.

“Perkenalan dengan Garuna Murthee yang juga pemilik Lotus Five Star dari Malaysia mempunyai jaringan produksi Hong Kong membuka pintu rezeki.

“Saya mengenali Garuna Murthee sejak usia 17 tahun ketika membintangi filem Gila-Gila Remaja. Siapa sangka, di sebalik kemunculan ramai hero muda, tetapi mereka tetap pilih saya.

“Garuna Murthee bertindak sebagai ejen mengirimkan profil dan gambar kepada produksi Hong Kong. Hasilnya, saya terbang ke Hong Kong menjalani penggambaran selama 15 hari pada Disember 2019.

“Jujurnya, saya tak pernah terfikir mampu melangkah ke pentas antarabangsa, tambahan pula membawa watak pengganas dalam usia 50-an. Semuanya bagaikan mimpi,” katanya.

Anak kelahiran Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur itu berkata, senario pasaran di luar negara berbeza kerana penerbitan sesebuah filem melihat kepada kematangan pelakon.

“Sepanjang berada di Hong Kong, saya dilayan sebagai ‘superstar’, malah aksi ngeri dijayakan pelakon pengganti.

“Jika di Malaysia, jika kita terlalu membawa diri sebagai bintang, orang akan kritik dan anggap ‘poyo’. Tetapi, di sana semua pelakon perlu membawa diri sebagai bintang filem.

“Saya dibenarkan berulang alik dari Hong Kong ke Malaysia jika tiada penggambaran dilakukan dalam tempoh ditetapkan. Jika ada cuti dua hari pun saya minta pulang ke Malaysia dan diberi tiket penerbangan kelas perniagaan,” katanya seperti dinukil BH Online.

Menurut Rosyam, beliau bekerja selama lapan jam sehari di lokasi penggambaran.

Diakui, cara bekerja dengan produksi Hong Kong sangat berbeza.

“Ketika latihan hanya membabitkan pelakon pengganti, tetapi di sini, semua proses dilakukan pelakon sendiri.

“Mulanya, kekok juga untuk mendapatkan momentum berlakon, tetapi lama kelamaan okay. Saya sendiri disediakan seorang pelakon lagak aksi membabitkan babak pertarungan.

“Namun, saya ada juga melakukan aksi pertarungan hingga cedera pada bahagian belakang badan. Semuanya demi pengalaman dan terpaksa tunjuk ‘macho’ tahan sakit,” katanya.

Rosyam atau nama sebenarnya, Mohamed Noor Shamsuddin akui, beliau sudah tentu akan mencuba nasib di Hong Kong sekiranya masih muda.

“Saya pilih ‘low profile’ ketika penggambaran filem G Storm. Nama saya dikenali di Malaysia, tetapi tidak di Hong Kong.

“Jadi, saya tidak tahu menjangkakan proses dan kesudahan filem ini. Ketika penggambaran filem Kaabali, ramai netizen mempertikaikan saya hanya berlakon dalam beberapa babak.

“Namun, itu tetap pengalaman berharga. Jadi, kali ini saya lebih berhati-hati,” katanya yang sudah dirisik Syamsul Yusof untuk membintangi filem KL Gangster 3.

BACA JUGA :
Panas !!! Filem bertemakan Gay pelakon melayu bakal ditayangkan 5 Disember?
Pelakon lelaki bersifat ‘Jantan’ makin pupus -Faizal Hussein
Gempar !!! Pelakon terkenal dicekup positif dadah

Artikel ini disiarkan pada 06/01/2022

COMMENTS

Wordpress (0)