Remaja 12-17 tahun diberi vaksin di Kemboja bermula 1 Ogos.Vaksinasi COVID-19 terhadap kanak-kanak berusia antara 12 dan 17 tahun di Kemboja, akan bermula 1 Ogos.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, berkata beliau akan membawa cucu-cucunya berusia 12 hingga 17 tahun untuk suntikan yang bermula di Calmette Hospital, di sini.
Selain itu, menurut Phnom Penh Post, pegawai kanan kerajaan yang lain akan melakukan langkah sama.
Pelan vaksinasi terhadap kanak-kanak itu pertama kali diumumkan pada 16 Julai lalu oleh Perdana Menteri, yang membabitkan tambahan empat juta dos suntikan bagi kira-kira dua juta kanak-kanak.
“Memang ada keperluan untuk memberi vaksin kepada kanak-kanak dan remaja yang berusia antara 12 dan 17 tahun.
“Menurut data yang diberikan Menteri Ekonomi dan Kewangan, Aun Pornmoniroth, terdapat kira-kira dua juta kanak-kanak dan remaja, jadi kita perlukan empat juta dos suntikan,” katanya.
Beliau merayu ibu dan penjaga supaya bersedia membawa anak mereka untuk diberikan vaksin.
“Kita mahu mencapai imuniti kelompok dan bagi membolehkan kita membuka kembali ekonomi, terutama sekolah yang ditutup dan hanya membenarkan pendidikan jarak jauh. Ini satu kerugian untuk kita,” katanya.
Kempen vaksinasi untuk kanak-kanak bermula di Phnom Penh dan wilayah Kandal dan Preah Sihanouk, yang dianggap sebagai kawasan jangkitan utama COVID-19.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, York Sambath, kerajaan sudah membuat tempahan lima juta dos vaksin untuk tujuan vaksinasi kanak-kanak dengan penghantarannya dijangka tiba antara Ogos dan September.
Beliau berkata demikian kepada wartawan di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh.
Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/07/842729/kemboja-mula-vaksin-kanak-kanak