Rasuah 3 juta : Isa Samad bela diri bermula esok

Bermula esok, bekas pengerusi Felda Mohd Isa Samad akan membela diri di Mahkamah Tinggi di sini terhadap 9 pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB), 6 tahun lepas.

Peguamnya Salehuddin Saidin semasa dihubungi berkata, Isa akan menjadi saksi pembelaan pertama memberi keterangan.

Kes berkenaan ditetapkan bermula pada 9 pagi di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Sebelum ini, hakim menetapkan 3 hari untuk mendengar kes pembelaan itu bermula 17 Ogos.

Isa, 71, memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi. Beliau akan disoal terlebih dahulu oleh peguamnya semasa pemeriksaan utama dan kemudian pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Pada 16 Jun, hakim memerintahkan Isa membela diri terhadap 9 pertuduhan rasuah setelah pendakwaan berjaya membuktikan setiap unsur penting kesalahan menerima rasuah di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim memutuskan bahawa 9 pengeluaran tunai oleh seorang saksi pendakwaan, pemegang saham dan pengarah JV Evolution Sdn Bhd, Azizi Abdul Wahab, mencukupi sebagai keterangan boleh dipercayai bagi membuktikan inti pati pertuduhan bagi kesalahan menerima rasuah yang dihadapi Isa.

JV Evolution Sdn Bhd adalah ejen yang dilantik oleh Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) dan bekas pengarahnya ialah Ikhwan Zaidel, 60, untuk menguruskan penjualan Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh GAPSB, pemilik hotel berkenaan ketika itu.

“Ikhwan kemudian menyerahkan wang tunai itu kepada pegawai khas Isa, iaitu Muhammad Zahid Md Arip, yang akhirnya memberikan wang tersebut kepada tertuduh sebagaimana yang dinyatakan dalam kesemua 9 pertuduhan,” kata hakim itu dalam penghakimannya.

Mahkamah bagaimanapun membebaskan Isa daripada 1 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) yang dihadapinya membabitkan pembelian hotel sama selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi pertuduhan itu.

Pihak pendakwaan menutup kesnya pada 14 Januari lepas setelah perbicaraan berlangsung 15 hari dengan 22 saksi dipanggil memberi keterangan.

Isa menghadapi 9 pertuduhan rasuah, iaitu menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, iaitu ahli lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, menerusi individu bernama Muhammad Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB bagi RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai, 2014 dan 11 Disember, 2015.

Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/08/16/isa-samad-bela-diri-terhadap-9-pertuduhan-rasuah-rm3-juta-di-mahkamah-tinggi-esok/