Rampasan dadah terbesar seberat 16 tan, adakah Malaysia bakal jadi Columbia?

Rampasan dadah terbesar seberat 16 tan, adakah Malaysia bakal jadi Columbia?

Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melalui perkongsian maklumat perisikan dengan Direktorat Jeneral Pengawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berjaya menumpaskan kartel pengedaran dadah antarabangsa melibatkan Pil Captagon yang disyaki mengandungi dadah jenis Amphetamine di Pelabuhan Klang, Selangor.

Hasil pembongkaran menjumpai anggaran sebanyak 94.8 juta biji Pil Captagon disyaki mengandungi dadah jenis Amphetamie dengan berat kasar dalam anggaran sebanyak 16 tan dan dianggarkan bernilai RM5.2 bilion yang disorokkan di dalam tayar troli.

Siasatan awal mendapati kontena-kontena tersebut tiba dari sebuah negara di Timur Tengah dan dipercayai untuk dihantar ke sebuah negara di Asia Timur.

Rampasan 16 tan Pil Captagon yang dianggarkan bernilai RM5.2 billion pada tahun ini merupakan rampasan dadah terbesar yang pernah direkodkan oleh JKDM setakat ini.

Untuk rekod sepanjang tahun 2018, JKDM telah merampas sebanyak 3.35 tan dadah pelbagai jenis bernilai RM160 juta, manakala bagi tahun 2019, JKDM telah merampas sebanyak 4.75 tan dadah pelbagai jenis bernilai RM790 juta dan pada tahun 2020, JKDM telah merampas sebanyak 2.86 tan dadah pelbagai jenis bernilai RM117 juta.

Kejayaan hasil kerjasama keselamatan ini dianggap sebagai suatu kejayaan terbesar dalam memerangi kartel dadah antarabangsa. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan dengan kesalahan, boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Sehubungan dengan itu, orang ramai digesa untuk membantu pihak JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan untuk tidak melibatkan diri dalam aktiviti tersebut.

Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

Sumber :